Oleh: Norzana Razaly
TANAH MERAH, 3 November – Menyahut kempen Tanah Merah sebagai Bandar Rendah Karbon, Ahli Dewan Negeri (ADN) Gual Ipoh, YB Bahari Mohamad Nor memasang lampu solar di semua 17 tanah perkuburan di seluruh 15 mukim di Dewan Negeri Gual Ipoh.
Menurutnya, inisiatif itu disahut bersempena bandar Tanah Merah menerima Pengiktirafan Diamond bagi Kategori Zon Rendah Karbon dalam penyertaan Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) dalam Low Carbon City 2030 Challenge (LCC 2030) anjuran Malaysian Green Technology and Climate Change Center (MGTC) bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada Februari tahun lepas.
"Kita sahut kempen Kerajaan Negeri Kelantan untuk menjadikan Tanah Merah sebagai bandar rendah karbon. Jadi, kita ambil tindakan pro aktif dengan memasang lampu solar pada 30 Januari lalu sebagai salah satu inisiatif mesra alam yang mendukung usaha kerajaan negeri untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui," jelasnya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, pemasangan lampu solar di tanah perkuburan itu juga membawa manfaat dari segi pemeliharaan alam sekitar kerana ia berfungsi menggunakan tenaga solar, tanpa memerlukan sambungan elektrik.
YB Bahari berharap inisiatif itu dapat memberi kesan positif dalam jangka masa panjang kepada masyarakat setempat, serta menyokong misi kerajaan negeri untuk mempertingkatkan pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan masyarakat.
"Ikhtiar ini juga meningkatkan suasana tenteram dan keselamatan di kawasan tanah perkuburan. Sekali gus mengikis persepsi bahawa tanah perkuburan sebagai tempat yang menyeramkan," ujarnya.
Beliau turut menjelaskan pemasangan lampu solar itu juga bertujuan untuk memastikan kawasan perkuburan menjadi lebih terang dan selesa, terutamanya bagi mereka yang ingin berziarah pada waktu malam atau pada hari-hari tertentu seperti malam Jumaat dan pada sambutan Aidilfitri.
"Selain memudahkan para keluarga untuk berziarah, lampu solar ini juga membantu petugas yang terlibat dalam pengurusan tanah perkuburan untuk menjalankan tugas mereka dengan lebih lancar dan berkesan. Keadaan tanah perkuburan di seluruh DUN Gual Ipoh sekarang yang terang-benderang memudahkan urusan pasukan keselamatan dan penjagaan kebersihan di kawasan tersebut,” katanya.
0 Comments