Ticker

6/recent/ticker-posts

Wang tunai, Tabungan Manjaku insentif bayi di Kelantan


MACHANG: Slogan Kelantan Negeri Berkebajikan bukan sekadar omongan, sebaliknya pelbagai skim bantuan diwujudkan kerajaan negeri bagi membantu rakyat.

Malah mereka yang berkhidmat sebagai pengasuh juga menerima sumbangan kerajaan negeri di bawah Skim Halimatus Saadiah. Mereka menerima insentif antara RM700 hingga RM1,000.

Lebih menarik lagi bayi baharu lahir juga diberi sumbangan di bawah Skim Cakna Aulad.

Adun Kemuning Ahmad Zakhran Mat Noor berkata, Skim Cakna Aulad merupakan salah satu inisiatif kerajaan Kelantan sebagai tanda keprihatinan terhadap bayi. 

Katanya, setiap bayi yang dilahirkan di Kelantan mendapat sumbangan berbentuk wang tunai dan Tabungan Manjaku.

“Ia bertujuan untuk memberi bantuan dan kesedaran kepada ibu bapa dan anak-anak kepentingan tabungan awal bagi membina masa depan lebih baik,” katanya pada catatan di laman sosialnya semalam.

Sebelum itu beliau menghadiri majlis Penyampaian Kit Cakna Aulad kepada 24 bayi yang dilahirkan di Dun Kemuning pada tahun 2023. 

Hadir sama wakil Kelantan Gold Trade Sdn Bhd, Nor Amni Sarah dan isteri Adun Kemuning. 


Ahmad Zakhran turut merakam ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyediakan skim tersebut. 

“Terima kasih juga kepada Ketua Ameerah PAS Dun Kemuning, Nur Nadiah Khairuddin yang menguruskan program tersebut dengan berjaya,” ujarnya.

Sementara itu wakil Kelantan Gold Trade memberi penerangan mengenai Tabungan Manjaku bertujuan menggalakkan amalan simpanan berasaskan emas, dinar dan dirham.

Katanya hasrat kerajaan negeri memupuk budaya menabung secara lestari dalam kalangan rakyat Kelantan.



Post a Comment

0 Comments