KUALA KRAI: Penduduk yang tinggal di perkampungan di seberang Sungai Kelantan bertuah apabila mereka menerima bantuan banjir disampaikan wakil rakyat.
Usaha itu digerakkan Adun Guchil Hilmi Abdullah dengan menghantar bantuan banjir ke Kampung Bahagia, Mambong dan Keluat menggunakan bot semalam.
Mereka menyusuri Sungai Kelantan kemudian mudek ke Sungai Galas sebelum sampai ke penempatan tersebut.
“Misi bantuan tersebut turut disertai Skuad Bantu Kuala Krai, Angkatan Pertahanan Awam Kuala Krai, NGO Barracuda, Lacar Group, Taskforce Kuala Krai - Unit Bantu.
“Selain itu turut serta Dewan Pemuda PAS Gua Musang dan sukarelawan anak muda,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Mudik ke kampung tersebut begitu mencabar kerana arus Sungai Kelantan dan Sungai Galas masih deras berikutan banjir baru-baru ini.
Paras sungai sekarang semakin surut berbanding Khamis lepas di mana paras air meningkat sehingga ke tebing sungai.
Kampung Bahagia hanya boleh dihubungi melalui sungai yang hanya mengambil masa 45 minit menggunakan bot dari pangkalan bot di Tangga Krai (Tangga Bradley).
Bagaimanapun terdapat jalan balak hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda dari Tanah Merah, di mana mengambil masa sehingga empat jam.
Selain itu terdapat jalan ladang menuju untuk sampai ke Kampung Bahagia dari Pasir Kelang yang mengambil masa kira-kira dua jam.
Sementara itu menurut Infobencana JKM sehingga jam 10.30 pagi tadi seramai 42,344 mangsa banjir daripada 13,627 keluarga yang ditempatkan di 94 pusat penempatan sementara di Kelantan.
Pasir Mas mencatat jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 21,290 daripada 7,047 keluarga diikuti Tumpat 20,465 orang (6,413 keluarga), Kota Bharu 403 orang (111 keluarga) dan Bachok 186 mangsa (56 keluarga).
0 Comments