Ticker

6/recent/ticker-posts

TERIMA KASIH NGO, KORPORAT BANTU MANGSA BANJIR DI LIMBONGAN – YB NOR ASILAH

Oleh: Norzana Razaly

PASIR PUTEH, 4 Disember – Ahli Dewan Negeri (ADN) Limbongan, YB Nor Asilah Mohamed Zin berterima kasih kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat atas peranan penting mereka dalam membantu mangsa banjir di kawasannya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat, dan Wanita, memberi penghargaan khusus kepada Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) cawangan Kelantan atas usaha murni menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Jelor, pada Isnin.

Menurut YB Nor Asilah, sokongan masyarakat dari dalam dan luar negeri amat dihargai, terutama ketika ribuan mangsa banjir masih berlindung di PPS kawasan Limbongan.

“Bencana banjir kali ini benar-benar mencabar, khususnya bagi mangsa yang mengalaminya buat pertama kali. Bantuan dalam bentuk khidmat sukarelawan dan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh pelbagai pihak sangat dialu-alukan,” ujarnya ketika dihubungi.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada penduduk setempat dan pasukan Penghulu Jelor Mohd Azizi Abdul Kadir, atas komitmen tinggi mereka dalam memastikan keperluan mangsa banjir terus dipenuhi di mukim beliau.

Begitu juga penyelaras utama khidmat bantuan dan kecemasan DUN Limbongan merangkumi 18 mukim yang diketuai Penghulu Mukim Alor Pasir Wan Mustaqim Wan Muhamad.

YB Nor Asilah berkongsi cabaran peribadi yang dihadapinya ketika hujan lebat baru-baru ini. Kawasan sekitar kediamannya dikelilingi air yang menyukarkan pergerakan beliau untuk turun padang.

“Rumah saya, alhamdulillah, tidak ditenggelami kerana kedudukannya yang agak tinggi. Namun, akses keluar-masuk terhalang kerana kawasan penduduk di bahagian bawah telah dinaiki air,” katanya.

Walaupun menghadapi kekangan tersebut, beliau tetap komited melaksanakan misi bantuan bersama pasukan keselamatan dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Limbongan bagi memastikan mangsa di PPS mendapat perhatian sewajarnya.

Sehingga pukul 10:45 pagi 2 Disember, seramai 10,654 mangsa daripada 3,260 keluarga masih ditempatkan di PPS di daerah Pasir Puteh.

DUN Limbongan mencatat jumlah mangsa tertinggi, 3,741 orang.

YB Nor Asilah menyeru lebih banyak pihak tampil memberi bantuan, terutama dalam aspek pembersihan dan penyediaan keperluan asas untuk mangsa banjir. 

Beliau yakin semangat gotong-royong yang ditunjukkan pelbagai pihak dapat membantu meringankan beban mangsa yang kini dalam fasa pemulihan.

Post a Comment

0 Comments