KOTA BHARU: Era pemerintahan almarhum Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dianggap tempoh yang sarat dengan mesej, nilai dan tauladan kepada rakyat negara ini.
Menteri Besar, Dato' Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud berkata, pelbagai pihak sama ada badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik membuat kajian terhadap sumbangan Tuan Guru sepanjang 23 tahun mentadbir Kelantan.
Kata beliau, tokoh tersebut diiktiraf di peringkat antarabangsa selain pernah disenaraikan pada kedudukan ke-42 dalam 500 orang Islam yang berpengaruh di dunia.
"Ada yang mengkaji sumbangan pemikiran Tuan Guru yang berjaya mengimplimentasikan dasar Membangun Bersama Islam dalam pentadbiran, segala perubahan yang dipelopori sehingga menjadi ikutan.
"Selain kajian mengenai kebijaksanaannya yang dipamerkan melalui seni-seni dakwah yang amat berkesan dan melekat dalam jiwa dan sanubari orang yang mendengar dan melihatnya," katanya.
Beliau berkata ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Seminar Ketokohan Tok Guru Tan Sri Dato’ Bentara Setia Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat di KIAS Nilam Puri di sini hari ini.
Hadir sama Penasihat Institut Pemikiran Tok Guru, Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Dato Wan Roslan Wan Hamat.
Seminar diadakan Dewan Johor KIAS itu merupakan anjuran bersama antara Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismai Petra (KIAS) dan Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG).
Sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan termasuk aplikasi pentadbiran Islam, pengurusan perpaduan kaum dan prospek masa depan pemikiran mantan Menteri Besar terbabit.
0 Comments