Kredit foto: Bernama |
KOTA DARULNAIM, 17 Disember- “Kejadian tebing runtuh di tebing sungai Kelantan berhampiran Tambatan D'Raja lewat petang semalam mendapat perhatian Kerajaan Negeri Kelantan,” kata Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, YB Dato' Dr Izani Husin.
Menurutnya, setelah kejadian tersebut berlaku, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah melakukan lawatan segera bagi menilai situasi semasa.
"Pihak JPS sedang dalam proses merangka pelan tindakan pemulihan tebing sungai tersebut. Selain itu, agensi-agensi lain seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) juga terlibat dalam usaha tindakan susulan bagi memastikan langkah pemulihan dapat dilaksanakan dengan segera, cekap dan berkesan", catatnya menerusi satu kenyataan di laman sosial miliknya, hari ini.
Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengelakkan dari menghampiri kawasan tersebut buat sementara waktu, sehingga kerja-kerja pemulihan selesai bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.
Media sebelum ini melaporkan, satu kejadian runtuhan sepanjang hampir 50 meter telah berlaku di tebing sungai Kelantan berhampiran Tambatan D'Raja, Kota Bharu itu menyebabkan laluan pejalan kaki dan riadah, turut musnah.
0 Comments