Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 18 Disember – Kursus Kemahiran Gunting Rambut Wanita (Salon) 2024 anjuran Akademi Al-Aufi dengan kerjasama Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan (U-BeS) berjaya menarik minat golongan muda untuk menguasai kemahiran dandanan profesional.
Program yang berlangsung selama lima hari bermula 24 hingga 28 November itu disertai sepuluh peserta dengan semangat dan komitmen yang tinggi.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhammad, memuji inisiatif tersebut yang dilihat berpotensi membentuk belia yang berdikari dan berdaya saing dalam bidang kemahiran.
Beliau menyifatkan program berkenaan sebagai salah satu langkah proaktif kerajaan negeri dalam melahirkan tenaga mahir yang mampu memenuhi permintaan industri dandanan serta meningkatkan kebolehpasaran belia Kelantan.
Menurutnya, kursus itu menyediakan latihan teori dan praktikal serta membekalkan kit salun lengkap sebagai langkah permulaan bagi peserta memulakan kerjaya dalam industri dandanan.
"Langkah ini adalah bijak dalam membina insan yang bermanfaat kepada masyarakat.
"Kita harap kemahiran ini dapat diaplikasikan untuk memajukan diri peserta serta menyumbang kepada ekonomi keluarga dan negeri," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri melalui Akademi Al-Aufi akan memperluas penganjuran kursus-kursus kemahiran seumpamanya pada masa akan datang.
"Insya-Allah, tahun depan lebih banyak kursus akan disusun bagi memastikan anak muda Kelantan mempunyai peluang menguasai bidang kemahiran dan keusahawanan," jelasnya.
0 Comments