KOTA BHARU: Langkah PAS tidak menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini membuahkan hasil apabila pada PRN 2025 parti itu berjaya melahirkan wakil rakyat sulung di negeri terbabit.
Dan pada PRN 2025 hasil gerak kerja berterusan dan kesungguhan jentera akhirnya membolehkan Dato’ Dr Aliakbar Gulasan muncul sebagai Adun pertama daripada PAS di Sabah.
Dan hari ini Dr Aliakbar hadir sebagai perwakilan dari Sabah pada muktamar PAS kali ke-72 di PUTIK.
Beliau berkata, kemenangan pada PRN Sabah pada 2025 hasil bantuan jentera PAS dari Semenanjung yang datang membantu ketika kempen PRN-17 Sabah.
“Hasil kerja keras sejak sekian lama dan bantuan petugas pilihan raya dari seluruh negara akhirnya PAS Sabah berjaya melahirkan anak sulung.
“Kita juga berazam untuk menambah lagi kekuatan PAS dengan menyasar menang satu kerusi parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16,” katanya.
Menurutnya juga PAS diwujudkan di Sabah pada tahun 1986 dan melahirkan anak sulung selepas 39 tahun bertapak di negeri itu.
Beliau juga berkata, situasi politik di Sabah berbeza kerana masyarakat sangat majmuk yang memerlukan seni tertentu untuk berdakwah.
Pada ucapan tersebut juga beliau mengetengahkan isu harga tiket kapalterbang dari Sabah ke Semenanjung begitu mahal seolah-olah mahu menghalang integrasi antara penduduk.
“Pada muktamar kali ini seramai 45 perwakilan dari Sabah datang ke Kelantan yang melibatkan harga tiket sahaja sebanyak RM80,000. Itu tidak termasuk kos penginapan dan makanan.
“Apa yang berlaku itu seolah-olah kita sedang dipecah antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak,” ujarnya.
Dr Aliakbar juga berkata, isu dalam perjanjian Malaysia 1963 dianggap belum lagi selesai kerana apa yang berlaku sekarang Sabah sekadar mendapat wang ihsan dari Pusat dan bukan hak sebenar.
Menurut beliau 40 peratus daripada hasil Sabah yang dipungut agensi kerajaan Persekutuan sepatutnya dipulang semula ke Sabah, namun sehingga sekarang tidak berlaku begitu.
“Kalau kita dapat tadbir persekutuan insyaAllah kita laksanakan apa yang terkandung dalam perjanjian perjanjian 1963 dan perkara itu bukan lagi untuk dirundingkan,” katanya.


0 Comments