KOTA BHARU: Beras jenama Agro Darulnaim dijangka berada di pasaran pertengahan 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Indusri Agromakanan dan Komoditi Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, beras tersebut akan dikeluarkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Kelantan dengan kerjasama pelabur.
Katanya, pelabur sedang menyiapkan sebuah kilang di Meranti Pasir Mas, di mana sekarang sudah lebih 80 peratus siap kerja-kerja mengubahsuai daripada kilang lama.
“Selepas kilang tersebut beroperasi pada fasa pertama akan dilakukan pembelian padi daripada pesawah dan pembekal.
“Kilang itu dilengkapi alat pengeriangan. Kilang akan melakukan proses mengeluarkan beras jenama tempatan sekitar pertengahan tahun depan.
“Kilang terbabit boleh menampung banyak bekalan padi. Beras yang dikeluarkan dijangka melebihi permintaan tempatan,” katanya di sini.
Terengganu mengeluarkan beras jenama Beras Ganu pada April 2022 dan memiliki Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP).
Tuan Mohd Saripudin juga berkata, kilang padi yang ada di Kelantan sekarang tidak dapat menampung bekalan padi sehingga padi dihantar untuk diproses di Terengganu, Kedah dan Selangor.
Kata beliau kilang-kilang padi di negeri-negeri lain kelazimannya mengambil padi dari Kelantan.
“Biasanya pesawah akan menjual padi kepada pengilang yang menawarkan harga lebih mahal. Sebab sekarang hanya ada harga lantai, sedangkan harga siling tidak ada.
“Kilang yang tidak cukup padi sudah tentu akan menaikkan harga, ada petani menjual untuk satu tan padi sehingga RM1,500.
“Mengambil kira situasi itu kerajaan negeri mengambil langkah membina kilang padi sendiri,” ujarnya.
Tuan Mohd Saripudin juga berkata, di Kelantan terdapat tiga kilang padi di bawah Bernas dan swasta 16.
0 Comments