Ticker

6/recent/ticker-posts

Tandas ‘BMW’ di Pasar Besar Siti Khadijah


KOTA BHARU: Tandas awam di Pasar Besar Siti Khadijah sedang dinaiktaraf bagi mewujudkan tandas ‘BMW’ (Bersih, Menawan, Wangi). 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Hilmi Abdullah berkata, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sedang menaiktaraf tandas di pasar tersebut.

Katanya langkah itu untuk mengekalkan Pasar Besar Siti Khadijah sebagai pasar awam terbersih di Malaysia.

MPKB-BRI turut mengambil beberapa langkah strategik bagi memastikan pasar terbabit sentiasa bersih termasuk menganjur program pembersihan secara berterusan.


Selain itu meningkatkan kekerapan pembersihan dengan melaksanakan jadual pembersihan harian dan berkala melibatkan pekerja yang profesional. 

“MPKB-BRI memanfaatkan peralatan moden seperti penyedut vakum industri dan mesin cuci tekanan tinggi. 

“Kempen menggalakkan pengasingan sisa basah dan kering dalam kalangan peniaga dan pengunjung turut dianjurkan,” katanya di sini.  


Pasar Besar Siti Khatijah pernah dinobatkan sebagai Pasar Awam Terbersih di Malaysia pada 2021 sempena sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan, anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Hilmi juga berkata, MPKB-BRI menyediakan tong sampah yang mencukupi di lokasi strategik termasuk tong kitar semula. 

Menurutnya MPKB-BRI juga memastikan sisa diangkut setiap hari untuk mengelakkan berlaku timbunan sampah. 

“Kempen kesedaran turut diadakan termasuk melalui media sosial, poster, dan siaran tempatan. Manakala peniaga dan pekerja diberi kursus berkaitan kebersihan dan pengurusan sisa. 

“MPKB-BRI menganjurkan program gotong-royong melibatkan masyarakat setempat. Selain itu menubuh pasukan pemantau kebersihan yang kerap membuat pemeriksaan,” ujarnya.  

Kata beliau juga tindakan tegas dengan menguatkuasakan undang-undang kebersihan iaitu mengenakan denda kepada individu yang melanggar peraturan.

Post a Comment

0 Comments