Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 7 Disember – Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Kelantan (MESRA) terus memainkan peranan penting dalam usaha membantu mangsa banjir di Kelantan melalui pelaksanaan program Gonyoh Gaha.
Menurut Setiausaha MESRA Norsyamimi Ab Manah, program yang disokong oleh lebih 200 sukarelawan berdaftar yang bersedia menghadapi Monsun Timur Laut 2024/2025 itu menjadi platform untuk menyelaras tenaga sukarelawan dari pelbagai latar belakang bagi melaksanakan gerak kerja pembersihan pasca banjir.
"Pusat operasi MESRA di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa bertindak sebagai pusat logistik dan penyelarasan.
"Tumpuan kita adalah membantu gerak kerja di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta melaksanakan operasi pembersihan di kawasan terjejas pasca banjir," jelas Norsyamimi ketika ditanya cara gerak gerja pasukannya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan operasi Gonyoh Gaha dijalankan setiap hari bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang, dengan lokasi operasi dimaklumkan sehari lebih awal berdasarkan permintaan pegawai bertanggungjawab banjir di setiap kawasan Dewan Negeri (DUN) Kelantan.
MESRA turut bekerjasama dengan Pusat Khidmat DUN, Khidmat Malaysia, dan Jabatan Amal untuk memastikan bantuan sampai ke kawasan terjejas dengan pantas dan berkesan.
Mereka juga memohon tenaga tambahan daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) untuk memperkukuhkan pasukan sukarelawan.
Operasi rasmi bermula pada 4 Disember lalu, dengan keutamaan diberikan kepada kawasan yang terjejas teruk seperti Rantau Panjang dan Tumpat. Antara tugasan utama ialah membersihkan Pejabat Parlimen Rantau Panjang, masjid-masjid berdekatan, dan kawasan perumahan Taman Sri Dalam Rhu, Tumpat.
“Kerja-kerja pembersihan diteruskan pada 5 Disember di Pasir Mas, esoknya 6 Disember di Rantau Panjang dengan 19 tenaga sukarelawan. Manakala di Sekolah Kebangsaan Teluk Jering, Pengkalan Kubor Tumpat pula melibatkan 26 sukarelawan.
“Hari ini 7 Disember, operasi kita teruskan dengan 20 sukarelawan melakukan kerja-kerja pembersihan di sekitar Rantau Panjang.
"11 anggota lagi dihantar berkhidmat di Masjid Teluk Jering, PASTI Kajang Sebidang dan Sekolah Kebangsaan Bendang Pak Yong,” tambahnya ketika dihubungi, hari ini.
Memandangkan misi pembersihan pasca banjir masih banyak lagi perlu diteruskan ke lokasi lain pula, MESRA menyeru orang ramai untuk menyertai pasukan sukarelawan mereka.
Individu yang berminat boleh mengisi borang dalam talian melalui pautan https://forms.gle/HatERJWVgFejtUK36
atau menyertai kumpulan WhatsApp MESRA melalui pautan https://chat.whatsapp.com/FwMX51wTnCw01yitmfXP3b untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Sebarang pertanyaan boleh disalurkan melalui hotline rasmi MESRA di pautan https://wa.link/r5vu2b
0 Comments