PASIR PUTEH: Masalah banjir yang berlaku di jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di tiga DUN di sini mendapat perhatian segera Ketua Jajahan Pasir Puteh Mohd Roshdi Ismail.
Petang semalam Ketua Jajahan meninjau lokasi banjir di laluan ECRL. Hadir sama Pengarah Projek Malayusia Rail Line Sdn Bhd (MRL) Datuk Sri Azlan Salleh, Adun Gaal Mohd Rodzi Ja’afar dan Adun Limbongan Nor Asilah Mohamed Zin.
Turut hadir pada lawatan di Pengkalan Pauh dan Batu Hitam di DUN Gaal jurutera JKR, wakil Majlis Daerah Pasir Puteh dan wakil China Communications Construction East Coast Rail (CCCC).
Mohd Rodzi berkata, rombongan terbabit meninjau keadaan semasa serta mendengar keluhan dan rayuan penduduk di beberapa kampung yang terkesan akibat banjir.
Katanya, menurut penduduk banjir berlaku dipercayai berpunca daripada pembangunan projek landasan ECRL.
“Lawatan tersebut turut menilai impak pasca banjir di kawasan terbabit dan merancang langkah susulan bagi mengurangkan risiko banjir di masa akan datang.
“Selain itu memastikan projek ECRL dapat dilaksanakan dengan mengambil kira kesejahteraan penduduk tempatan,” katanya di sini.
Menurutnya juga pendekatan inklusif tersebut mencerminkan komitmen kerajaan negeri dan kontraktor projek ECRL untuk memastikan kebajikan penduduk tanpa menjejaskan pembangunan infrastruktur.
“Semoga usaha ini memberi manfaat demi kesejahteraan rakyat, selaras dengan agenda pembangunan mampan DUN Gaal,” ujarnya.
Pada sidang DUN baru-baru ini anggota Exco Kerajaan Negeri Dato’ Dr Izani Husin berharap wakil rakyat di kawasan terbabit banjir di laluan ECRL mengadakan perbincangan dengan kontraktor bagi mengatasi masalah tersebut.
0 Comments