Oleh: Norzana Razaly
TANAH MERAH, 1 Disember – Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemahang, YB Dato' Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman mengambil inisiatif menyantuni mangsa banjir yang terjejas di lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam kawasan DUN Kemahang.
Lawatan beliau melibatkan dua lokasi yang mengalami kesan banjir paling teruk iaitu PPS Madrasah Kuala Kepok dan PPS Dewan Orang Ramai Padang Kijang.
Beliau menyerahkan sebuah generator kepada PPS Dewan Orang Ramai Padang Kijang yang berdepan masalah terputus bekalan elektrik.
Katanya, tindakan tersebut bagi memastikan kemudahan asas seperti pencahayaan dan peralatan elektrik dapat digunakan oleh mangsa banjir dan petugas di lokasi tersebut.
Selain itu, bantuan berupa bekalan makanan turut diagihkan melalui Pusat Khidmat DUN Kemahang untuk memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara.
Jelasnya, pihak berwajib telah menyediakan makanan asas, namun kita juga menyalurkan sumbangan tambahan supaya kebajikan mangsa terus terjaga.
“Banjir tahun ini adalah pengalaman pertama buat ramai penduduk di kawasan ini kerana sebelum ini ia tidak pernah dinaiki air seteruk ini. Kita bersyukur kerana setakat ini tiada kehilangan nyawa dilaporkan,” catatnya menerusi laman sosial, hari ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada agensi penyelamat, sukarelawan, dan penduduk setempat atas kerjasama erat dalam membantu mangsa banjir dan melancarkan pengurusan di PPS.
Menurutnya lagi, beberapa mangsa banjir di PPS terbabit mengadu paras air naik secara mendadak pada waktu malam. Ramai penduduk tidak sempat membuat persiapan awal untuk berpindah, menyebabkan mereka bergantung sepenuhnya kepada bantuan pihak berwajib dan sukarelawan.
0 Comments