Oleh: Norzana Razaly
TUMPAT, 1 Disember – Ahli Parlimen Tumpat YB Dato' Mumtaz Md Nawi tampil menyuarakan kebimbangan terhadap emosi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan terjejas banjir.
Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan dan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menangguhkan sementara peperiksaan tersebut demi keadilan dan kebajikan emosi pelajar yang terkesan.
“Kak Taz bukan nak jadi heroin atau apa, tetapi sebagai wakil rakyat, Kak Taz berasa bertanggungjawab untuk menyuarakan suara rakyat.
"SPM ini adalah peperiksaan besar yang diuruskan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia di bawah KPM, dan impaknya sangat besar terhadap masa depan pelajar. Apa yang Kak Taz fikirkan adalah keadaan emosi pelajar yang sedang menghadapi situasi luar biasa seperti banjir ini,” catatnya menerusi media sosial, hari ini.
Menurutnya lagi, bencana banjir kali ini bukan sesuatu yang biasa dan di luar kawalan manusia.
Beliau menekankan penangguhan peperiksaan SPM adalah langkah yang wajar, bukannya membatalkan, untuk memberi ruang kepada pelajar, guru, dan ibu bapa menyesuaikan diri dalam situasi yang mencabar sekarang.
“Kementerian kata, emosi pelajar itu penting. Jadi, ini juga sebahagian emosi mereka. Dengan jalan yang tidak dapat dipastikan selamat atau tidak akibat banjir, bagaimana pengawas, ibu bapa, dan pelajar boleh menghadapi situasi ini dengan tenang?
"Sebagai kawasan dalam Malaysia, Kak Taz mohon kerajaan dan menteri gunakan kuasa mereka untuk tangguhkan peperiksaan ini sementara keadaan kembali normal,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa banjir tahun ini memberi kesan kepada logistik dan keselamatan semua pihak yang terlibat.
Dalam masa yang sama, Dato' Mumtaz menyeru ibu bapa untuk mendaftar anak-anak mereka sebagai sukarelawan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Inisiatif itu, katanya, bukan sahaja meringankan beban mangsa banjir, tetapi juga memberikan anak-anak perspektif yang lebih luas tentang erti kesabaran dan keprihatinan terhadap mereka yang sedang diuji.
“Kak Taz percaya, selain kita meminta kerajaan menunjukkan empati, kita juga perlu mendidik anak-anak kita untuk memahami perasaan mereka yang lebih terkesan. Ini peluang untuk menanam nilai kemanusiaan dalam diri mereka," tegasnya.
Beliau yang turut mengakui pernah berpengalaman menjadi mangsa banjir sejak kecil hingga kini, membantah cadangan tersebut dan merayu agar pihak berwajib menangguhkan dulu SPM.
"Peperiksaan ini induk, beri sokongan kepada mereka untuk sempat membaca dan mentelaah sebagaimana orang lain. Tak lari gunung dikejar, bulan Februari pun SPM boleh dibuat macam ketika COVID-19 dulu,” tambahnya.
0 Comments