Ticker

6/recent/ticker-posts

RAJA PEREMPUAN TENGKU ANIS BERKENAN MELAWAT MANGSA BANJIR

Oleh: Asri Hamat 

TUMPAT, 3 Disember - Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis binti al-arhum Tengku Abdul Hamid berkenan melawat mangsa banjir yang masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Padang Pohon Tanjong, Wakaf Baharu, hari ini.

Baginda turut mengurnia sumbangan kepada ketua isi rumah mangsa yang masih berada di PPS tersebut. Termasuk juga saguhati kepada agensi terbabit dengan pengurusan mangsa banjir di PPS tersebut iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan, Majlis Daerah Tumpat, Pengarah Kesihatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan.

Turut menerima sumbangan, Angkatan Pertahanan Awam (APM ) Kelantan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Guru Besar SK Padang Pohon Tanjong Zalina Mohamad.

Sementara itu, Pegawai JKM Jajahan Tumpat, Fathiah Ibrahim ketika menyampaikan taklimat memaklumkan setakat pukul 8 pagi tadi, terdapat 47 buah PPS di jajahan Tumpat yang masih beroperasi mambabitkan 6542 ketua isi rumah dengan 21082 mangsa.

"Di PPS SK Padang Pohon Tanjong ini melibatkan 63 ketua isi rumah dengan 225 mangsa," katanya ketika menyampaikan taklimat.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan Dato' Mohd Yusoff Mamat, Ketua Jajahan Tumpat Wan Ahmad Suwaidi Zainal Abidin, Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Dato' Dr Zaini Hussin dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan Mad Yani Mat Zin.



Post a Comment

0 Comments