Oleh: Norzana Razaly
PASIR MAS, 3 Disember – Solidariti Ahli Dewan Negeri (ADN) Dabong YBM Ku Mohd Zaki Ku Hussin atas usaha membantu mangsa banjir di Tendong, dihargai.
Beliau dan pasukannya membantu ADN Tendong YB Rozi Muhammad, memindahkan mangsa banjir di Kampung Gelang Mas, Tendong, ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkal Kala selama tiga hari bermula 29 November hingga 1 Disember lalu.
Bersemangatkan Set Kito Jange Ppecoh, YB Ku Zaki bertolak dari Dabong pada pukul 9 pagi dan tiba di Tendong menjelang tengah hari dan segera menggerakkan operasi menyelamat bersama pasukan YB Rozi.
Katanya, pasukannya mengenderai pacuan empat roda yang mengheret bot. Operasi menyelamat selama tiga hari itu dilakukan secara terancang.
Fokus utama mereka ialah memindahkan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Pangkal Kala, termasuk calon Peperikaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kemudian dibawa ke pusat peperiksaan oleh guru-guru mereka.
"Kita datang bantu setelah mendapat makluman di Tendong kekurangan bot. Pasukan kita turut memindahkan mangsa dari Kampung Banggol dan Kampung Alor Mengkuang.
“Selain pemindahan mangsa, bantuan turut diagihkan kepada penduduk terjejas melalui sumbangan NGO Geng Ustaz dari Putrajaya,” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.
Sehubungan itu, YB Rozi menyifatkan tindakan YB Ku Zaki sebagai bukti solidariti yang tinggi sesama pemimpin.
"Sikap setiakawan beliau amat dihargai, dan semoga Allah membalas jasa baik pasukan YB Dabong yang membantu Tendong," katanya.
Beliau turut memaklumkan operasi semalam diteruskan hingga ke petang dengan mengambil dan memindahkan seramai 50 calon yang menduduki SPM ke asrama di Kolej Vokasional Pasir Mas di Tendong.
0 Comments