Ticker

6/recent/ticker-posts

SELAMAT MENDUDUKI SPM - MB

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 2 Disember – Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud mengucapkan selamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada semua calon yang terlibat.

Beliau mendoakan semoga Allah SWT mempermudah segala urusan para calon dalam menjawab peperiksaan SPM tahun ini.

"Ingatlah, setiap usaha yang dilakukan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh pasti akan menghasilkan natijah terbaik," pesannya menerusi satu kenyataan dalam laman sosialnya, hari ini.

Menyentuh keadaan semasa banjir yang melanda, beliau menasihati calon agar tidak mudah berputus asa atau melemahkan semangat.

"Cabaran ini wajar dijadikan sebagai dorongan untuk terus berusaha dan membuktikan kemampuan diri," ujarnya lagi.

Beliau turut mengingatkan calon dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Insyirah:

"Maka sesungguhnya bersama kesukaran ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesukaran ada kemudahan."

"Dengan itu, berusahalah sebaik mungkin dan bertawakallah kepada Allah SWT. Seluruh doa dan harapan kami mengiringi perjuangan anda semua. Semoga anda cemerlang bukan sahaja di dunia, tetapi juga di akhirat," tambahnya.

Dato' Mohd Nassuruddin turut menyeru agar para pelajar terus yakin dengan kemampuan diri serta memanfaatkan setiap peluang untuk mencapai kejayaan.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merekodkan seramai 3,111 calon berdaftar yang terjejas banjir di seluruh Kelantan.

Semua calon dikehendaki menjawab ujian lisan Bahasa Melayu SPM 2024, hari ini.

Post a Comment

0 Comments