Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 1 Disember – Walaupun sibuk berkhidmat menyelamatkan mangsa banjir serta mengagihkan bantuan keperluan asas di kawasan Dewan Negeri (DUN) Meranti, Menteri Besar YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud tetap komited memantau situasi banjir yang melanda negeri ini secara langsung.
Melalui maklumat yang diselaras pelbagai agensi berkaitan, beliau sentiasa mendapatkan perkembangan terkini berkaitan bencana tersebut.
Terkini, beliau telah mengadakan lawatan kerja ke Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim.
Menurutnya, sehingga pukul 2 petang tadi, sebanyak 278 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sedang beroperasi di seluruh Kelantan, melibatkan 96,657 mangsa daripada 29,764 keluarga.
Beliau turut memaklumkan bahawa meskipun paras air menunjukkan sedikit penurunan, kewaspadaan perlu kekal tinggi memandangkan gelombang kedua banjir dijangka bermula pada 4 Disember ini.
"Saya ingin mengingatkan semua pihak supaya terus mematuhi arahan pihak berkuasa dan sentiasa mengutamakan keselamatan diri serta keluarga. Marilah kita hadapi ujian ini dengan penuh kesabaran. Semoga Allah SWT melindungi kita semua," katanya melalui catatan di media sosial hari ini.
Beliau turut menyeru rakyat agar bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan, di samping memastikan langkah-langkah keselamatan diambil dengan penuh teliti bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.
0 Comments