Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud |
Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 23 Disember — Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud mengakui selama 23 tahun di bawah kepimpinan almarhum Tan Sri Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat (ATGNA), Kelantan telah melalui satu era kepemimpinan yang sarat dengan mesej, nilai, dan qudwah yang kekal menjadi pedoman kepada rakyat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Ketokohan Tok Guru Tan Sri Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat anjuran Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) dan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Dewan Johor KIAS, hari ini.
Menurutnya, ATGNA dikenali sebagai tokoh dunia yang ketokohannya melangkaui sempadan agama, politik, dan bangsa.
"Keperibadian Rasulullah SAW menjadi ikutan dalam setiap aspek kehidupan ATGNA, khususnya dalam pentadbiran negeri.
“Tokoh tersohor itu pernah disenaraikan di tangga ke-42 dalam "500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia", mencerminkan pengiktirafan global terhadap sumbangannya. Seni dakwah yang dipraktikkan oleh ATGNA amat berkesan dan meninggalkan kesan mendalam di hati mereka yang mendengar,” jelasnya.
Almarhum Tan Sri Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat (ATGNA) |
Beliau turut menegaskan bahawa legasi dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang diilhamkan oleh ATGNA yang telah berjaya merakyat itu perlu diteruskan dan diperhalusi dalam fasa baharu pentadbiran negeri, iaitu Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).
Setiap tindakan dan prinsip ATGNA mencerminkan penghayatan al-Quran dan Sunnah yang jauh dari sifat retorik.
“Kita harus bekerja secara kolektif untuk memastikan kelangsungan dan kecemerlangan pentadbiran di bawah dasar ini.
"Dokumen Induk Penghayatan Membangun Bersama Islam mesti menjadi rujukan utama supaya setiap perancangan selaras dengan garis panduan syariat Allah SWT," ujarnya.
Dato’ Nassuruddin juga memuji penganjuran seminar oleh IPTG dan KIAS yang berjaya mengumpulkan pelbagai pihak, termasuk ahli akademik, pemimpin kerajaan, dan badan bukan kerajaan serta siswa-siswi untuk mendalami ketokohan ATGNA itu terus dikaji dari sudut pemikiran, kepimpinan, dan seni dakwahnya.
Beliau berharap seminar itu dapat memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap nilai dan perjuangan Islam yang ditinggalkan ATGNA, sekali gus menjadi inspirasi kepada penerus legasi kepimpinan negeri.
0 Comments