Mantan Menteri Besar YB Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob |
Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 23 Disember — Tokoh ulung, almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat (ATGNA) dikenang sebagai seorang pemimpin dari latar pendidikan Islam yang berjaya mengubah persepsi rakyat terhadap kepimpinan ulama.
Beliau membuktikan kemampuan ulama mentadbir negeri, mengurus kewangan, serta menangani masalah sosial dalam kalangan masyarakat melalui kaedah keagamaan.
Mantan Menteri Besar YB Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata almarhum Tok Guru menawarkan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) sebagai model pentadbiran dengan keberanian mempraktik prinsip Islam secara langsung walaupun berdepan pelbagai cabaran.
“Kelantan tidak ada satu model tadbir urus negeri yang lengkap ketika itu. Cabaran terbesar adalah mencari kaedah pelaksanaan yang sesuai. Namun, almarhum Tok Guru berjaya mendidik rakyat dan pemimpin untuk memahami bahawa politik dan agama tidak boleh dipisahkan,” ulasnya ketika berucap di Majlis Mengenang Legasi Pemikiran Tok Guru Nik Abdul Aziz di Dewan Johor, di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), hari ini.
Beliau mengimbas langkah signifikan almarhum Tok Guru, antaranya keberanian memindahkan wang negeri kepada perbankan Islam. Tindakan itu mencetuskan fenomena pembukaan kaunter perbankan islamik di semua bank konvensional di seluruh negara.
Menurutnya, cabaran pentadbiran kini ialah memastikan generasi yang lahir selepas 1990-an untuk memahami, menghargai, dan mengembangkan dasar yang dipelopori almarhum Tok Guru.
“Pemikiran dan keberanian almarhum Tok Guru dalam mendidik rakyat dan memimpin dengan integriti menjadi inspirasi kepada generasi akan datang untuk meneruskan perjuangan Islam dalam setiap aspek kehidupan,” ujarnya.
Beliau memuji usaha penganjur dalam mengangkat ketokohan dan pemikiran Tok Guru yang wajar terus dijadikan panduan untuk memastikan negeri Kelantan kekal maju berteraskan nilai Islam.
Menteri Besar YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud |
Program setengah hari anjuran bersama Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia (IPTG) dan KIAS itu dirasmikan oleh Menteri Besar YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.
Seminar tersebut bertujuan memperkenalkan ketokohan dan pemikiran Tok Guru agar ia terus relevan dan menjadi rujukan masyarakat masa kini.
Tiga kertas kerja dibentangkan oleh sarjana berwibawa dengan kupasan tajuk yang menarik iaitu Aplikasi Pentadbiran Islam Dalam Kerajaan Negeri Kelantan oleh Profesor Emeritus Dato’ Dr. Johari Mat.
Manakala Profesor Dr. Mazlan Ibrahim tampil berkongsi pandangan bernas berkenaan Tuan Guru Tan Sri Dato' Bentara Setia Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat: Ikon Perpaduan Kaum.
Pemakalah ketiga Dr. Mohd Khairulnazrin Mohd Nasir pula membentangkan judul Penyelidikan Pemikiran Tok Guru Tan Sri Dato' Bentara Setia Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat: Trend, Cabaran Dan Prospek Masa Depan dengan perkongsian fakta selama tiga dekad, terdapat 152 kajian penulisan ilmiah berkaitan ATGNA.
0 Comments