Ticker

6/recent/ticker-posts

TENGKU MAHKOTA KELANTAN BERANGKAT MELAWAT MANGSA BANJIR DI PASIR MAS

Oleh: Norzana Razaly 

PASIR MAS, 3 Disember – Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni al-marhum Sultan Ismail Petra berkenan berangkat ke Pasir Mas bagi menzahirkan keprihatinan baginda terhadap mangsa-mangsa banjir yang terjejas akibat bencana yang melanda negeri ini.

Baginda tiba sekitar pukul 3.00 petang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah (U) Arab Binjai Manis, Pohon Buloh, hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi YAB Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud serta pemimpin tempatan menunjukkan keakraban hubungan di antara institusi diraja, kerajaan negeri dan rakyat jelata.

Menurut Dato' Mohd Nassuruddin, lawatan tersebut bukan sahaja membawa bantuan material, tetapi turut menyuntik semangat dan kekuatan moral kepada mangsa-mangsa banjir.

Beliau menjunjung kasih atas keprihatinan dan keberangkatan YTM Tengku Muhammad Fakhry Petra, yang disifatkannya sebagai lambang hubungan erat institusi diraja dengan rakyat.

Beliau juga menekankan bahawa kunjungan itu memperkukuhkan semangat kebersamaan dan perpaduan dalam menghadapi cabaran semasa.

Pada kesempatan tersebut, Tengku Muhammad Fakhry Petra turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang berada di PPS.

Usai menziarahi PPS, baginda berkenan pula melawat beberapa keluarga yang tidak berpindah ke pusat pemindahan.

Sumbangan turut disampaikan terus ke rumah-rumah mangsa, sebagaimana yang telah dikenal pasti oleh pihak pentadbiran jajahan Pasir Mas.

Post a Comment

0 Comments