PASIR PUTEH: Dana kecemasan dan bencana dimanfaatkan wakil-wakil rakyat bagi menangani segera masalah rakyat yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Adun Limbongan Nor Asilah Mohamed Zin berkata, Pusat Khidmat Dun (PKD) Limbongan mengambil langkah segera memanfaatkan dana tersebut bagi mengatasi masalah dihadapi rakyat.
Kata beliau hujan cukup lebat pada pusingan kedua pada 29 dan 30 November lepas menyebabkan berlaku kerosakan jalan akibat arus deras.
Katanya, hakisan yang teruk memutuskan jalan keluar masuk penduduk di Taman Permata, Jeram Pasu ke jalan utama.
“Aduan awal diterima sejak 24 November lalu di mana hujan lebat menyebabkan hakisan tanah dan jalan berlubang di beberapa tempat.
“Alhamdulillah dengan dana kecemasan dan bencana kerja pembaikan dilaksanakan segera semalam,” katanya pada kenyataan.
Menurutnya PKD Limbongan sentiasa peka dan prihatin terhadap pelbagai aduan rakyat berkaitan banjir dan langkah-langkah awal diambil.
Kata beliau juga sejak awal November lepas Majlis Daerah Pasir Puteh melaksanakan persediaan dan gotong royong di kawasan bandar terutamanya mengatasi masalah longkang tersumbat.
“Bagaimanapun musibah banjir agak luar jangka menyebabkan lebih 10,000 penduduk di Pasir Puteh ditenggelami banjir,” ujarnya.
Manakala PKD Selising turut mengambil tindakan segera membaiki jalan yang rosak akibat banjir di Kampung Lepah.
Kata Adun Selising Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, hujan lebat menyebabkan berlaku kerosakan jalan disebabkan hakisan tanah sehingga ada jalan tidak dapat digunakan penduduk.
"Banyak aduan awal diterima PKD Selising sejak 30 November lalu mengenai masalah hakisan tanah dan jalan berlubang di beberapa lokasi.
"Alhamdulillah dengan dana kecemasan dan bencana, kerja membaik pulih segera dilaksanakan hari ini," katanya.
0 Comments