Ticker

6/recent/ticker-posts

Mangsa banjir dipastikan tidak tercicir dapat bantuan


RANTAU PANJANG: Adun Gual Periok Kamaruzaman Mohamad berusaha keras memastikan mangsa banjir yang terjejas di DUN berkenaan mendapat bantuan.

Katanya, bantuan itu dihantar menggunakan bot dan kenderaan pacuan empat roda bagi memastikan tiada mangsa banjir yang tercicir. 

“Petang semalam saya menyampaikan bantuan kepada penduduk di Kampung Kok Batu yang terjejas akibat banjir. 


“Bantuan itu sebagai tanda keprihatinan daripada agensi dan semua pihak yang terlibat dalam usaha membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir,” katanya di sini.  

Menurutnya juga di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Baroh Pial masih terdapat lebih 400 mangsa banjir.


Beliau berkata, penduduk masih berada di PPS tersebut memandangkan banjir belum surut sepenuhnya di kawasan berkenaan.

Katanya, mangsa-mangsa banjir dibantu petugas yang bekerja keras tanpa mengenal penat dan lelah. 

“Tugas kalian amat dihargai dan semoga segala usaha tersebut diberkati Allah Taala,” katanya.

Sebelum itu beliau melawat PPS tersebut bersama penghulu mukim dan petugas Pusat Khidmat DUN Gual Periok.

Pada lawatan terbabit beliau meninjau kerja-kerja memasak dan beramah mesra dengan mangsa-mangsa banjir yang berlindung di PPS berkenaan.


Kamaruzaman turut menziarah seorang penduduk Allahyarham Yusnieta Mohd Lawi, 40 tahun yang meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II pagi tadi.

Sebelum ini anak perempuan arwah, Nur Iezarra Abd Talib, 9 tahun, meninggal dunia selepas di rumahnya di Kampung Gual To'Deh dilanda banjir. 

Arwah Nur Iezarra dan ibunya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual To' Deh. 

Baru-baru ini media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di rumahnya di Kampung Gual To'Deh ketika banjir sedang melanda.

Pada masa sama ibu mangsa juga dilaporkan tidak mampu bergerak dipercayai terkena serangan angin ahmar.

Misi bantuan banjir Adun Gual Periok turut mendapat kerjasama Persatuan Tionghua Kelantan dengan menyumbang barangan makanan untuk mangsa banjir di DUN berkenaan. 

Hadir sama presiden persatuan terbabit Dato’ Oie Poh Choon dan Pasukan Bomba Sukarela Sungai Petani dan Teluk Intan.

Post a Comment

0 Comments