Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 14 Januari - Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian merintis usaha menyerahkan pelbagai barangan tercicir (luqathah) yang ditemui di sekitar hospital dan kampus kesihatan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Tindakan tersebut menjadikan HUSM sebagai kampus pertama yang menyerahkan harta luqathah kepada MAIK.
Pengarah Kampus Kesihatan HUSM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail berkata sebelum tahun 2015, pihaknya menyerahkan barangan tercicir itu kepada Pusat Islam Kampus Kesihatan HUSM.
“Namun setelah mendapat nasihat daripada pihak audit ISO Hospital Patuh Shariah, kami memutuskan untuk menyerahkan semuanya kepada MAIK.
“Barangan tersebut hanya akan diserahkan kepada MAIK sekiranya tiada tuntutan diterima selepas tempoh pemakluman yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, semua barang yang diserahkan pada Khamis lalu ialah barang tercicir yang dijumpai di sekitar HUSM pada tahun 2012 hingga 2022. Manakala barang tercicir yang ditemui pada tahun 2023 hingga 2024 akan diserahkan kepada MAIK pada tahun depan.
Menurutnya lagi, sebelum penyerahan barangan tercicir secara rasmi dilakukan kepada MAIK, semuanya akan diserahkan kepada Jabatan Keselamatan. Pihak hospital juga membuat hebahan melalui saluran konvensional dan digital bagi memudahkan individu yang kehilangan barang untuk menuntutnya.
Antara barang yang diserahkan kepada MAIK termasuk wang tunai berjumlah kira-kira RM9,000, 26 utas barang kemas, puluhan jam tangan, telefon bimbit, dan pelbagai barang lain.
Penyerahan tersebut dilakukan Prof. Dr. Shaiful Bahari kepada Ketua Pegawai Baitulmal MAIK Ridhwan Abdul Rahman, dalam satu majlis ringkas di Pejabat Pengarah Kampus Kesihatan USM pada 9 Januari lepas yang disaksikan Pegawai Mal dan Sumber Am MAIK, Ahmad Yunoh.
MAIK, dalam satu kenyataan, mengucapkan terima kasih dan memberi penghargaan kepada HUSM atas inisiatif yang diambil.
MAIK turut memaklumkan bahawa pihaknya menyediakan perkhidmatan Serahan Harta Luqathah, hebahan di portal rasmi MAIK, serta tuntutan harta luqathah.
Sebarang pertanyaan atau tuntutan boleh dibuat di Kaunter Baitulmal MAIK atau menghubungi talian 09-7481512.
0 Comments