Ticker

6/recent/ticker-posts

SELANGOR SUMBANG RM500 RIBU, BANTU OPERASI PASCA BANJIR DI KELANTAN

Oleh: Asri Hamat 

KOTA BHARU, 5 Januari- Kerajaan Negeri Selangor menghulurkan sumbangan sebanyak RM500 ribu bagi membantu operasi pasca banjir yang telah melanda Negeri Kelantan pada awal Disember tahun lepas.

Sumbangan tersebut telah diserahkan oleh Menteri Besar YAB Dato' Seri Amiruddin Shaari kepada Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10 pada Khamis.

Dato' Mohd Nassuruddin menzahirkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan sejawatnya dari Selangor itu atas bantuan tersebut.

"Keperihatinan ini mencerminkan erti sebenar persahabatan dan solidariti antara negeri-negeri terutama pada saat mencabar seperti ini. Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban rakyat Kelantan yang terkesan tetapi juga memberi sinar harapan dalam usaha memulihkan kehidupan serta membaik pulih infrastruktur yang rosak.

"Kami di Kelantan amat menghargai sokongan dan bantuan ini. Semoga ukhuwah yang terjalin di antara negeri Kelantan dan Selangor akan terus erat dan  bersama-sama kita membina masa depan yang lebih baik untuk rakyat dan negara yang tercinta,"katanya melalui laman sosial pada Khamis.

Sementara itu, Dato Seri Amiruddin seperti yang dicatat di media sosial miliknya berkata, sumbangan  RM500 ribu tersebut adalah untuk membantu membaik pulih infrastruktur serta kemudahan yang terjejas teruk akibat  banjir yang melanda Kelantan pada akhir November dan awal Disember 2024.

"Sumbangan ini bagi menyatakan sokongan kami kepada negeri Kelantan yang telah dilanda banjir pada penghujung tahun 2024. Ini merupakan pusingan kedua bantuan Kerajaan Negeri Selangor ke Kelantan. Sebelum ini Kerajaan Negeri Selangor telah menghantar Skuad Ihsan Madani yang terdiri daripada kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sukarelawan bagi operasi pembersihan dan agihan bakul makanan.

"Semoga dengan bantuan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh sahabat-sahabat di Kelantan yang sangat memerlukan. Bantuan ini mencerminkan kepedulian Kerajaan Negeri Selangor kepada semua tanpa mengira batas geografi," ujarnya.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan YB Zamakhshari Muhammad, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor YB Najwan Halimi dan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan YB Rohani Ibrahim.



Post a Comment

0 Comments