Oleh Damia Hana |
KOTA BHARU: Syiling
Perak 5 Dirham dan 10 Dirham edisi baharu kini berada di pasaran sebagai
komitmen berterusan kerajaan Kelantan memperkasakan ekosistem emas dan perak di
negara ini.
Produk itu dilancar Kelantan Gold Trade Sdn Bhd (KGT) bagi menawarkan produk berkualiti bagi memenuhi keperluan simpanan dan pelaburan masa hadapan.
Pengurus Besar KGT, Wan Muhammad Najahuddin Wan Fuad berkata, pelancaran syiling itu membuktikan iltizam KGT menghasilkan produk aset fizikal sebagai simbol warisan yang kekal relevan bagi keperluan kewangan semasa.
Katanya pelancaran 5 Dirham dan 10 Dirham edisi baharu membuktikan komitmen KGT menawar produk berkualiti yang relevan dengan keperluan kewangan masa kini.
“Dalam keadaan ekonomi yang sentiasa berubah, memiliki aset bernilai seperti emas dan perak merupakan langkah bijak untuk melindungi nilai kekayaan serta membina simpanan jangka panjang,” katanya di sini.
Pelancaran syiling tersebut diadakan sempena penyertaan KGT dalam Invest Fair 2026 yang diadakan di Mid Valley Exhibition Centre (MVEC), Mid Valley Megamall baru-baru ini.
Sepanjang pameran berlangsung, reruai KGT mendapat sambutan menggalakkan pengunjung yang ingin mendapat maklumat mengenai produk simpanan dan pelaburan berasaskan emas serta perak.
“Penyertaan KGT di Invest Fair 2026 juga bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan pelaburan emas dan perak sebagai instrumen simpanan untuk masa depan,” katanya.
Wan Muhammad Najahuddin juga berkata, pengunjung berpeluang mengenali ekosistem simpanan emas dan perak dalam bentuk digital serta fizikal yang ditawarkan KGT.
Selain itu mendapatkan khidmat konsultasi berkaitan pengurusan aset jangka panjang.
Menurutnya juga penyertaan KGT pada pameran itu sebahagian daripada usaha syarikat memperluaskan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memiliki aset bernilai sebagai instrumen simpanan masa depan.
"KGT merakamkan penghargaan kepada semua pengunjung, rakan strategik dan pihak penganjur atas sokongan yang diberi sepanjang Invest Fair 2026.
"Sokongan berterusan menjadi pemangkin untuk KGT terus memperkukuh peranan dalam membudayakan simpanan emas dan perak sebagai aset masa depan rakyat Malaysia," ujarnya.
Penubuhan KGT dicetus almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi menggalakkan rakyat Kelantan menjadikan emas dan perak sebagai instrumen simpanan serta sebahagian perancangan kewangan jangka panjang.


0 Comments