Ticker

6/recent/ticker-posts

DATO' MUMTAZ, SAHABAT SEPERJUANGAN BERTEKAD TERUS BERJUANG UNTUK ISLAM DAN RAKYAT

Oleh: Norzana Razaly

KUALA LUMPUR, 5 Februari 2025 – Ahli Parlimen Tumpat, YB Dato' Mumtaz Md Nawi bertekad terus berjuang menegakkan Islam serta memperjuangkan kesejahteraan rakyat melalui Dewan Rakyat.

Beliau memaklumkan komitmen tersebut bersama lima lagi sahabat sefikrah iaitu Ahli Parlimen (AP) Rantau Panjang YB Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff, AP Temerloh YB Salamiah Mohd Nor, AP Kepala Batas YB Dr. Siti Mastura Muhammad dan AP Kapar YB Dr. Halimah Ali serta Ahli Dewan Negara YB Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff, selepas Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen Kelima Belas pada Isnin.

Menurutnya, beliau dan sahabat berlima akan menyertai sidang parlimen tersebut bermula pada 3 Februari hingga 6 Mac depan.

Beliau juga menegaskan pentingnya keberkesanan pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang mampu menjaga dan memartabatkan Islam sebagai agama persekutuan.

"Kita mohon agar Kerajaan Persekutuan menjadi pentadbir yang berupaya menjaga agama Islam sebagai agama persekutuan dan melaksanakan janji mereka dalam mengagihkan peluang ekonomi dan pembangunan yang mesra rakyat, bersifat adil untuk semua di semua wilayah dan negeri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelasnya lagi, YDPA adalah payung rakyat dan simbol demokrasi berpelembagaan, kewujudan kerajaan dan pembangkang adalah tanda demokrasi wujud dan subur.

"Maka di parlimenlah tempat sepatutnya menjalankan kesaksamaan sama ada dari segi peruntukan dan hak pembangunan setiap wilayah sebagai sebuah negara yang berdaulat," tegasnya.

Beliau turut menyeru agar semua pihak di dalam Dewan Rakyat berusaha memperkukuh kerjasama demi memastikan negara terus maju dalam kerangka kesejahteraan rakyat yang seimbang dan berteraskan ajaran Islam.

Tidak ketinggalan, Dato’ Mumtaz mengambil peluang mengaju soalan berkaitan manfaat dan proses unsur nadir bumi ketika Sesi Libat Urus Hala tuju Pembangunan Industri Unsur Nadir Bumi di Malaysia yang berlangsung hari ini.




Post a Comment

0 Comments