Oleh: Asri Hamat
MACHANG, 6 Februari – Kenaikan tarif elektrik bagi sektor perindustrian yang diumumkan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini dijangka memberi kesan rantaian kepada rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulai Chondong YB Azhar Salleh berkata, meskipun kenaikan itu tidak melibatkan pengguna domestik secara langsung, impaknya tetap akan dirasai apabila kos operasi industri meningkat dan seterusnya mempengaruhi harga barangan serta perkhidmatan.
"Keadaan ini sama seperti kenaikan harga diesel sebelum ini. Apabila harga diesel naik, kos penghantaran meningkat dan akhirnya menyebabkan kenaikan harga barang keperluan asas.
"Begitu juga dengan kenaikan tarif elektrik industri, kesannya akan berantai hingga kepada rakyat biasa," katanya.
Justeru, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan menilai semula langkah tersebut bagi memastikan kebajikan rakyat, khususnya golongan kurang berkemampuan seperti pekerja kampung, tidak terjejas.
"Golongan berpendapatan tinggi mungkin tidak terasa kesannya, tetapi bagi rakyat marhaen, sebarang kenaikan kos sara hidup amat membebankan," tambahnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Beg Sekolah anjuran Persatuan Kampung Bandar Tercinta di PASTI Ar-Rahman, Kampung Bandar, Pulai Chondong, pada Rabu.
Dalam majlis itu, seramai 70 pelajar dari Kampung Bandar, Kampung Laha dan Kampung Kerawang menerima sumbangan beg sekolah sebagai persediaan sesi persekolahan 2025.
Menurut YB Azhar, inisiatif badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan amat bermakna bagi membantu keluarga kurang berkemampuan.
"Walaupun hanya sebuah beg, ia cukup menggembirakan penerima dan meringankan beban ibu bapa yang berdepan kos persekolahan yang semakin meningkat," katanya.
Turut hadir, Setiausaha Persatuan Kampung Bandar Tercinta Ahmad Mukhsyinin Zaki dan Penghulu Mukim Kampung Bandar Mohd Pauni Abu Bakar.
0 Comments