Ticker

6/recent/ticker-posts

HAMPIR 700 KELUARGA DI TANJUNG MAS TERIMA BAUCER PERALATAN PERSEKOLAHAN

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Rohani Ibrahim

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: FB YB Rohani Ibrahim

KOTA BHARU, 9 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan terus komited melaksanakan agenda negeri berkebajikan dengan menyalurkan sumbangan baucer peralatan sekolah kepada hampir 700 keluarga di Dewan Negeri (DUN) Tanjung Mas, semalam.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Rohani Ibrahim berkata, bantuan tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.

“Selama 35 tahun, dasar Membangun Bersama Islam menjadi tunjang pentadbiran kerajaan negeri dan kita tidak pernah ketinggalan dalam menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Pada awal pelaksanaan inisiatif ini, bantuan diberikan sebanyak RM50. Hari ini, hampir 700 keluarga di DUN Tanjung Mas menerima baucer bernilai RM100 untuk pembelian peralatan persekolahan bagi sesi akademik 2025 yang bakal bermula tidak lama lagi,” katanya.

Menurut beliau, meskipun nilai sumbangan ini tidak besar, ia tetap mampu meringankan beban ibu bapa dalam membuat persediaan persekolahan anak-anak mereka.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Baucer Peralatan Persekolahan 2025 peringkat DUN Tanjung Mas di Dewan Terbuka Maahad Muhammadi Lelaki, Kota Bharu.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa peruntukan bagi golongan armalah dan anak yatim di setiap DUN telah meningkat secara berperingkat sejak tahun 2006.

“Alhamdulillah, pada tahun 2006 peruntukan untuk armalah dan anak yatim hanya berjumlah RM40,000 bagi setiap DUN. Kini, jumlah itu telah meningkat kepada RM120,000, sekali gus membolehkan lebih ramai penerima mendapat manfaat.

“Peningkatan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat sejajar dengan dasar 'Membangun Bersama Islam' yang kini diperkukuhkan menerusi pendekatan 'Penghayatan Membangun Bersama Islam', iaitu menjiwai serta melaksanakan tuntutan Islam dalam pentadbiran,” katanya.


Post a Comment

0 Comments