Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 5 Februari- Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak mengikut ajaran agama sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran dunia yang semakin mencabar pada masa kini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kijang YB Dato' Dr. Izani Hussein menegaskan bahawa dalam mendidik anak-anak, ibu bapa harus memastikan hubungan anak-anak dengan Allah SWT sentiasa terjaga kerana ia akan membentuk hati yang dekat dengan-Nya.
Kata beliau, hubungan yang erat dengan Allah SWT akan menjadi benteng yang kukuh bagi anak-anak untuk menghadapi pelbagai cabaran hidup.
"Menjaga hubungan dengan Allah SWT akan menyebabkan hati manusia terpaut kepada-Nya, yang seterusnya menjadi benteng yang kuat dalam menghadapi dunia yang penuh ujian," katanya.
Dato' Dr. Izani yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan menambah, ibu bapa perlu sentiasa dekat dengan anak-anak dan menjadi tempat untuk mereka bercerita dan berkongsi masalah.
"Rapatlah dengan anak-anak. Luangkan masa untuk mereka. Anak-anak yang rapat dengan ibu bapa lebih mudah dibentuk dan dididik, sekaligus terlindung daripada pengaruh negatif," ujarnya lagi.
Beliau juga mengingatkan bahawa dalam dunia yang penuh dengan cabaran ini seperti masalah gejala sosial yang membimbangkan, kasih sayang daripada ibu bapa adalah pelindung terbaik bagi anak-anak untuk menghadapinya.
Terdahulu, Dato' Dr. Izani menyampaikan sumbangan pakaian sekolah kepada pelajar-pelajar yang memerlukan di kawasan Dewan Negeri, Kijang di Dataran Kijang, Kedai Buluh, Kota Bharu.
Sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada usaha membantu meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan.
0 Comments