Ticker

6/recent/ticker-posts

JALINKAN HUBUNGAN ERAT DENGAN AGENSI KERAJAAN UNTUK SELESAI MASALAH RAKYAT

Oleh: Asri Hamat 

KOTA BHARU, 4 Februari- Para penghulu disaran supaya menjalin hubungan baik dengan agensi-agensi kerajaan di jajahan masing-masing terutama Ketua Jajahan dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat.

Pengarah Urus Setia Pembangunan Penghulu, Zulkifli Mamat berkata, pendekatan tersebut mesti diambil oleh  para penghulu kerana pihak agensi kerajaan seperti Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) adalah agensi paling dekat dengan penghulu dari segi hiraki pentadbiran.

"Segala arahan kerajaan akan diperturunkan kepada Ketua Jajahan kemudian diturunkan kepada penggawa seterusnya kepada penghulu. Inilah jalur kerja penghulu dari sudut pentadbiran.

"Oleh itu, urusan kerja-kerja kerajaan mesti melalui wakil rakyat, PTJ, penggawa dan agensi-agensi kerajaan yang lain.

"Kalau tidak melalui mereka ini, kerja-kerja untuk membantu rakyat tidak dapat dilaksanakan.

"Penghulu juga hendaklah sentiasa bertemu dan berbincang dengan Ketua Jajahan dan agensi kerajaan yang ada di jajahan masing-masing kerana mereka ini juga merupakan ejen pelaksana kepada program kerajaan."

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan alu-aluan di Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Penghulu Negeri Kelantan 2025, di Dewan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Isnin.

Beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada semua penghulu samada lantikan baharu atau lantikan semula.

"Pelantikan ini menandakan pengharapan rakyat dan disokong oleh pihak kerajaan untuk menjaga sesebuah mukim.

"Ini merupakan satu penghargaan dan penghormatan yang besar dalam usaha untuk menggalas tanggungjawab yang diamanahkan. Tahniah diucapkan. Jangan sia-siakan amanah, harapan rakyat dan kerajaan kepada kita", katanya.

Post a Comment

0 Comments