Oleh: Asri Hamat
TUMPAT, 15 Februari – Sukan, kebajikan dan ukhuwah bergabung dalam Kayuhan Amal Ar-Rahn 2025 anjuran Permodalan Kelantan Berhad (PKB).
Program kecergasan itu turut menjadi wahana membantu golongan asnaf.
Kayuhan sejauh 17 kilometer dari Masjid Kampung Laut ke Pantai Geting menyaksikan 75 peserta dalam kalangan kakitangan PKB serta anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).
Di samping itu, program berkenaan juga merancakkan gaya hidup aktif pemimpin tempatan dan staf PKB dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dengan menyantuni asnaf dan institusi pendidikan.
Pengerusi PKB yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Pasir Pekan YB Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob menekankan kepentingan keseimbangan antara kecergasan fizikal dan ketahanan spiritual dalam prestasi kerja.
Katanya, tubuh yang sihat dan minda yang cergas membolehkan seseorang pekerja menunaikan tanggungjawab dengan lebih baik.
"Program seperti ini bukan sahaja memupuk gaya hidup aktif, malah memperkukuh ukhuwah dalam organisasi,” katanya ketika merasmikan majlis pelepasan peserta di Laman Warisan Kampung Laut, hari ini.
Menariknya, program itu turut membawa misi kebajikan apabila Maahad Muhammadi Tumpat menjadi destinasi persinggahan utama.
Pihak PKB menyerahkan sumbangan kepada sekolah dan 10 asnaf dari Kampung Laut.
Pengurus Besar PKB, Hassan Shukri Hussein, menjelaskan bahawa kayuhan itu berkonsepkan ‘dua dalam satu’ – kecergasan dan keprihatinan sosial bergerak seiring.
“Di samping manfaat kesihatan, kita juga menjalankan tanggungjawab korporat dengan menyampaikan bantuan keperluan asas serta wang tunai kepada golongan memerlukan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PKINK Ahmad Nazri Ismail menyerahkan sumbangan kepada YB Mohd Adnan Hassan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maahad Muhammadi.
Selepas singgahan di sekolah, peserta meneruskan kayuhan hingga ke Pantai Geting.
Mereka disambut dengan sesi penutup dan penyampaian cenderahati oleh ADN Kelaboran, YB Mohd Adanan Hassan.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PKINK Dato' Sr Zamri Ismail dan Setiausaha Majlis Daerah Tumpat YM Tuan Faisa Abdullah.
0 Comments