![]() |
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr. Mohamed Fadzil Hassan |
Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 13 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan cakna terhadap keselamatan rakyatnya yang kerap berulang-alik ke negara jiran.
Sehubungan itu, rakyat Kelantan yang merancang untuk mengunjungi selatan Thailand dinasihatkan agar mengambil serius peringatan pihak berkuasa Thailand untuk mengelakkan kunjungan ke kampung nelayan di Narathiwat.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr. Mohamed Fadzil Hassan mengesyorkan agar rakyat negeri ini mempertimbangkan destinasi lain yang lebih selamat sebagai langkah berwaspada.
“Tidak dinafikan, ramai rakyat Kelantan gemar bercuti ke Thailand terutama pada hujung minggu dan cuti umum.
"Namun, saya menasihatkan agar mereka memilih lokasi yang lebih selamat dan buat sementara waktu, elakkan kampung nelayan di Narathiwat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi bicara dua hala dengan rakan media pada Majlis Mahabbah Kepimpinan Kelantan bersama Media 2025, di sebuah hotel di Tunjong, pada Rabu.
Majlis kelolaan Urus setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan itu dihadiri purata 150 pengamal media daripada 20 agensi di Kelantan dan Kuala Lumpur.
Dato' Dr. Mohamed Fadzli turut menegaskan bahawa peringatan oleh pihak berkuasa Thailand ini perlu dipandang serius kerana ia melibatkan aspek keselamatan orang awam.
Menurutnya lagi, amaran yang dikeluarkan oleh polis Thailand mencerminkan usaha bersungguh-sungguh pihak berkuasa negara jiran dalam membanteras ancaman dadah di wilayah berkenaan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Narathiwat Kolonel Pratya Baite, menasihatkan pelancong Malaysia yang berkunjung ke selatan Thailand agar mengelakkan kampung nelayan yang dikenal pasti sebagai kawasan panas aktiviti pengedaran dadah.
Sementara itu, tinjauan di pintu masuk imigresen Sungai Golok mendapati jumlah rakyat Malaysia yang memasuki Thailand menunjukkan penurunan berbanding hari biasa.
Kebiasaannya, pintu sempadan yang menghubungkan Rantau Panjang dengan Thailand melalui Jambatan Muhibbah merekodkan lebih 2,000 rakyat Malaysia melintasi sempadan pada cuti umum.
0 Comments