Kehangatan muktamar di PUTIK semakin dirasai

KOTA BHARU: Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 yang akan berlangsung Jumaat ini dirasai semakin hangat apabila laluan masuk ke Kelantan mulai sendat dengan aliran kenderaan.

Semalam berlaku kesesakan di laluan Kuala Terengganu melalui Sungai Tong ke Kota Bharu. Malah deretan kenderaan memanjang di hadapan Plaza Tol Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) di Kampung Gemuruh.

Perjalanan dari Gemuruh ke sempadan Kelantan mengambil masa kira-kira empat jam memandangkan berlaku limpahan kenderaan.

Hampir kesemua kedai makan atau restoran di sepanjang laluan tersebut kelihatan penuh dengan pelanggan sehingga menyebabkan pekerja tidak menang tangan.

Suasana itu dapat dirasaikan mulai Jumaat lepas setelah bermula cuti persekolahan apabila kenderaan yang keluar daripada LPT2 menghala ke sempadan Kelantan mulai sesak.

Pada Jumaat ini akan berlangsung perasmian muktamar dengan ucaptama yang akan disampaikan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Program terbabit dijangka bermula jam 8 pagi di mana perwakilan dan pemerhati mulai mengambil tempat di Dewan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa.

Ketibaan Presiden PAS akan disambut dengan pemeriksaan perbarisan kehormat oleh anggota-anggota Jabatan Amal di halaman PUTIK.

Kemudian perarakan masuk Mursyidul Am Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin dan Presiden PAS ke dalam dewan muktamar.

Muktamar kali ini lebih menarik apabila pemimpin utama Umno mengesahkan akan menghadiri pada acara perasmian. Dijangka hadir sama pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) dan wakil kedutaaan asing.

Majlis perasmian akan dimulakan dengan Lagu Negaraku dan lagu rasmi.  Program berkenaan dijangka berakhir dengan gimik perasmian muktamar kali ke-72 dan Sambutan 75 Tahun PAS serta anugerah tokoh.

Sempena muktamar kali ini juga Ku Haraki Kelantan kerjasama Kelstone Sdn Bhd menawarkan jualan Dinar khas sempena sambutan 75 tahun PAS dan 36 Tahun Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).

Muktamar PAS akan berlangsung sehingga Sabtu. Manakala muktamar Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat akan diadakan pada 3 September ini.

Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia akan diadakan di luar Kota Bharu iaitu di Kompleks Pendidikan Islam Bachok. Kini persiapan akhir dewan berkenaan sedang giat dijalankan.

Pada tarikh sama juga akan diadakan konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS dan Dewan Assabiqun PAS.   

Manakala ekspo jualan dan pameran Arkib PAS serta agensi kerajaan negeri Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah akan diadakan bermula 2 September di tapak ekspo PUTIK.




 

Catat Ulasan

0 Ulasan