Ticker

6/recent/ticker-posts

KADAR SEWAAN BAZAR RAMADAN 2025 KEKAL BERPATUTAN- YB HILMI

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah

Oleh: Norzana Razaly 

KOTA DARULNAIM, 13 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan prihatin terhadap kebajikan rakyat termasuklah pengusaha bazar Ramadan.

Oleh itu, kerajaan negeri melalui portfolio Kerajaan Tempatan memastikan kadar sewaan tapak bazar Ramadan 2025 kekal berpatutan bagi membantu peniaga kecil dan sederhana menjana pendapatan sepanjang bulan Ramadan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah berkata kadar sewa yang ditetapkan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerajaan negeri adalah antara RM200 hingga RM580, bergantung kepada lokasi dan kemudahan yang disediakan.

"Kerajaan negeri amat prihatin terhadap peniaga kecil dan mikro.

"Oleh itu, kadar sewa di kawasan luar bandar seperti Jeli, Dabong, Gua Musang, dan Tumpat dikekalkan pada harga serendah RM200 hingga RM250 bagi memastikan lebih ramai usahawan kecil dapat berniaga tanpa beban kos tinggi," katanya, ketika dihubungi hari ini.

Beliau menjelaskan, kadar sewa di kawasan bandar seperti Kota Bharu, Kuala Krai, dan Kubang Kerian lebih tinggi, iaitu antara RM500 hingga RM580, berikutan permintaan tinggi dan daya tarikan lokasi strategik yang mampu menarik lebih ramai pelanggan.

"Di kawasan bandar, kadar sewaan adalah kompetitif dengan mengambil kira kemudahan dan jumlah pengunjung yang lebih tinggi.

"Namun, kita tetap memastikan ia tidak membebankan golongan peniaga sederhana," tambahnya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa para peniaga yang ingin mendapatkan tapak di bawah Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), kadar sewa tapak bazar Ramadan di lokasi seperti Padang Tembak, Kubang Kerian, Taman Bendahara, Tok Kenali Binjai, dan Pasir Tumboh ditetapkan antara RM370 hingga RM580.

Sementara itu, lokasi swasta seperti Stadium Sultan Muhammad IV mengenakan kadar lebih tinggi, iaitu melebihi RM1,000 untuk satu tapak berukuran 10x10 kaki.

Walaupun harganya lebih mahal, tapak ini menawarkan pelbagai kemudahan termasuk bekalan elektrik, kipas, lampu, apron percuma, serta pertandingan booth tercantik dan cabutan bertuah.

"Peniaga mempunyai fleksibiliti untuk memilih lokasi yang sesuai mengikut modal dan strategi perniagaan mereka.

"Bagi yang baru memulakan perniagaan, mereka boleh memilih tapak yang lebih mampu milik di bawah seliaan PBT," jelasnya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan inisiatif tambahan seperti subsidi, insentif sewaan, atau bantuan peralatan bagi meringankan beban peniaga kecil, terutama di kawasan luar bandar.

"Bazar Ramadan adalah platform penting bagi peniaga kecil menambah pendapatan. Kerajaan negeri akan terus memastikan keseimbangan antara kos sewaan yang berpatutan dan peluang ekonomi yang mampan kepada rakyat," katanya.

Beliau juga berharap dengan kadar anjal mengikut kemampuan yang telah ditetapkan itu, usahawan bazar Ramadan boleh membuat perancangan awal bagi memastikan persediaan mereka untuk berniaga dalam suasana yang kondusif dan menguntungkan sepanjang Ramadan tahun ini.

Post a Comment

0 Comments