![]() |
RM10 ribu sumbangan KGT untuk Yayasan Amal Malaysia |
Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 17 Februari 2025 – Kelantan Gold Trade Sdn Bhd (KGT), anak syarikat milik penuh Perbadanan Menteri Besar Kelantan, mencatat prestasi cemerlang dengan jumlah jualan RM15.7 juta pada tahun 2024.
Pengurus Besar KGT Wan Muhammad Najahuddin Wan Fuad berkata jumlah itu meningkat lebih 90 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Beliau mengakui kejayaan tersebut didorong oleh strategi pengukuhan rangkaian perniagaan melalui pembukaan cawangan wakalah serta pelantikan hampir 200 saudagar individu sebagai wakil jualan.
Katanya, melalui strategi pemasaran yang agresif dan kolaboratif bersama syarikat korporat, KGT optimis untuk mencapai pertumbuhan lebih besar dalam industri logam berharga pada tahun mendatang.
![]() |
Pengerusi KOWANIS |
"Bagi menghargai pencapaian luar biasa ini, KGT melalui Jabatan Pembangunan dan Rangkaian Perniagaan (JPRP) menganjurkan Majlis Apresiasi Saudagar dan Rangkaian Perniagaan 2024, yang diadakan bagi meraikan individu serta organisasi yang mencatatkan jualan tertinggi sepanjang tahun.
"Majlis ini menyaksikan Koperasi Wanita Islam Kelantan (KOWANIS) diumumkan sebagai penerima anugerah utama dengan jumlah jualan RM1.2 juta, diikuti oleh Koperasi Penghulu Negeri Kelantan dengan jualan RM400,000.
"Turut dirai, tiga individu yang mencapai prestasi jualan tertinggi sepanjang tahun dari Negeri Sembilan dan Pulau Pinang," jelasnya dalam Majlis Hi-Tea merai Wakalah dan Saudagar KGT di sebuah hotel di sini, hari ini.
Dalam majlis yang sama, KGT turut mengumumkan pelantikan Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (KOPUTRA) sebagai Wakalah terbaharu.
![]() |
Pengerusi Koperasi Penghulu |
Lima cawangan wakalah di bawah Ar Rahnu KOPUTRA telah beroperasi bagi menjalankan kaunter jualan dan belian balik produk KGT. Istimewanya lagi, Ar Rahnu KOPUTRA turut menerima gadaian Dirham keluaran KGT.
Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat, KGT turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Yayasan Amal Malaysia.
Dana berkenaan dikumpul melalui jualan produk edisi khas Palestin yang mana RM10 daripada setiap unit yang terjual disalurkan untuk membantu rakyat Palestin.
Untuk rekod, KGT yang ditubuhkan pada 28 Oktober 2008, terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam perdagangan emas dan perak di Kelantan.
0 Comments