Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: FB MAIK
PASIR MAS, 18 Februari – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengagihkan sebanyak RM2.84 juta daripada wang zakat bagi bantuan awal persekolahan tahun 2025.
Dalam satu kenyataan di media sosial, MAIK memaklumkan bahawa bantuan tersebut disalurkan melalui 21 masjid negeri, bandar, dan jajahan di seluruh Kelantan untuk membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka.
Terdahulu, Tengku Temenggong Kelantan merangkap Yang Dipertua MAIK, YBM Tengku Tan Sri Dato' Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz menyempurnakan penyerahan bantuan awal persekolahan kepada 200 penerima di jajahan Pasir Mas.
Majlis penyerahan berlangsung di Masjid al-Taqwa, Mukim Bunut Susu, Pasir Mas, pada Ahad.
Dalam majlis yang sama, Tengku Dato' Mohamad Rizam turut menyampaikan replika kunci rumah dan sumbangan wang tunai kepada 20 penduduk Pasir Mas yang kurang berkemampuan.
Untuk rekod, sepanjang tahun 2024, MAIK melalui dana zakat telah membantu 20 keluarga di jajahan Pasir Mas memiliki kediaman lebih selesa dengan menyediakan rumah tiga hingga lima bilik, bergantung kepada keperluan pemohon.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Yang Dipertua MAIK Dato' Mohd Anis Hussein; Pengerusi Masjid al-Taqwa Bunut Susu YB Dato' Mohd Faudzi Che Mamat dan Setiausaha MAIK Muhamad Rasani Ramli.
0 Comments