Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN KUASAI PASARAN EMAS: 500KG BARANG KEMAS DIBAWA MASUK SETIAP BULAN

Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: FB TEM

KOTA BHARU – Kelantan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab utama industri emas di Malaysia dengan kemasukan kira-kira 500 kilogram (kg) barang kemas setiap bulan bagi memenuhi permintaan tinggi pengguna di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Empayar Iman Sdn. Bhd. (Empayar Iman), Zulna Hashim berkata, angka tersebut diperoleh berdasarkan data daripada pengilang-pengilang utama, khususnya dari Pulau Pinang, yang membekalkan emas kepada premis jualan di seluruh negeri.

“Kebanyakan pembekal emas di Kelantan aktif mendapatkan stok dari kilang-kilang di Pulau Pinang. Secara keseluruhannya, jumlah bekalan emas yang dibawa masuk ke negeri ini mencecah 500kg sebulan.

“Malah, jika dibandingkan dengan gabungan bekalan di Selangor dan Kuala Lumpur, saya percaya angka di Kelantan jauh lebih tinggi,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Taman Emas Malaysia (TEM) di Bazar Tuan Padang, di sini, pada Sabtu.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Empayar Iman Sdn Bhd dan Pengurus Pusat Bertauliah Akademi Emas Malaysia, Zulkifli Idris.

TEM, pusat jualan emas yang dibuka sejak Julai lalu menjadi destinasi wajib bagi peminat barang kemas dari seluruh negara.

Menurut Zulna, sebanyak 22 unit kedai emas yang telah siap diubah suai disediakan untuk peniaga beroperasi dalam suasana yang lebih selesa dan eksklusif.

“Selain persekitaran jualan yang kondusif, kita juga memasang sebanyak 54 buah televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan TEM sebagai langkah keselamatan kepada semua pihak,” katanya.

Tambahnya, TEM turut menyediakan pusat pendidikan dan latihan menerusi Akademi Emas Malaysia.

Institusi perintis di Malaysia itu telah mendapat pengiktirafan Jabatan Pembangunan Kemahiran dengan standard Kod Amalan Akreditasi Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) (COPTPA).

“Selain daripada pameran dan jualan, pengajian seni kraf emas turut disediakan di Akademi Emas Malaysia. Kami telah memulakan proses pengambilan pelajar untuk program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang seni kraf emas tahap dua dan tiga selama 14 bulan sejak 15 Januari lalu,” jelasnya.

Setakat ini, seramai 30 pelajar telah menyertai Akademi Emas Malaysia dalam program SKM dan pelajar daripada golongan asnaf telah menyertai program jangka pendek selama tujuh hari bagi mempelajari seni kraf emas menerusi akademi tersebut.

“TEM bukan hanya berfungsi sebagai pusat jualan emas semata-mata. Kami mahu mewujudkan satu hab lengkap yang merangkumi pendidikan, kemahiran, ilmu, perniagaan dan pemasaran dalam industri emas.

“Kami berharap TEM dapat menjadi pemangkin kepada perkembangan industri emas di Malaysia, khususnya di Kelantan,” ujarnya.

Terdahulu, pada 14 Februari telah berlangsung Majlis Penyerahan Projek hasil kolaboratif di antara UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) dan TEM bagi memperkukuh kerjasama akademik dan industri, khususnya dalam bidang reka bentuk logam.

"Kerjasama ini melibatkan Kumpulan SIG: Metal Design Group (MDG), UiTMCK, yang menyumbang kepakaran mereka dalam menghasilkan rekaan inovatif dan berestetika tinggi.

"Kerjasama ini menjadi platform untuk mempamerkan hasil kerja berkualiti tinggi dan membuka ruang untuk pertukaran ilmu antara akademia dan industri, sekali gus menggalakkan pembangunan reka bentuk logam yang lebih moden dan berdaya saing," katanya.

Post a Comment

0 Comments