Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 17 Februari - Penularan tabiat ketagihan dadah dalam kalangan remaja boleh menghancurkan harapan dan masa depan sesebuah negara.
Justeru, memerangi ancaman ini adalah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua lapisan masyarakat, dari ibu bapa hingga kepada pemimpin, agensi, dan komuniti setempat.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kijang, YB Dato' Dr Izani Husin, yang juga Exco Kerajaan Negeri, menegaskan bahawa ibu bapa memainkan peranan penting sebagai benteng pertama dalam melindungi anak-anak daripada terjebak dalam penyalahgunaan dadah.
"Ibu bapa adalah individu yang paling dekat dengan anak-anak.
"Mereka perlu memberikan kasih sayang yang secukupnya, didikan agama yang kukuh, serta mengambil berat mengenai pergaulan dan aktiviti harian anak-anak mereka," katanya menerusi hantaran di media sosial, pada Isnin.
Beliau menegaskan bahawa Isu dadah perlu dijadikan topik utama dalam sesi dialog, forum, dan program keibubapaan, agar ibu bapa sentiasa peka terhadap bahaya dadah.
Tambah beliau, masjid juga perlu diaktifkan sebagai pusat komuniti yang proaktif dalam usaha menangani pengagihan dadah.
"Dengan mendekatkan golongan muda dengan masjid, kita mengukuhkan nilai-nilai agama dalam diri mereka, sekali gus membina benteng kukuh terhadap pengaruh negatif, seperti penyalahgunaan dadah," ujarnya.
Dato' Dr Izani turut menekankan kepentingan program keagamaan dan kemasyarakatan yang berterusan untuk membentuk komuniti yang prihatin dan saling mengambil berat.
Terdahulu, Dato' Dr Izani menghadiri program Walkabout Perdana 2025 sempena Sambutan Peringatan Hari Anti Dadah anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kelantan.
Program yang diadakan di Kampung Pulau Kundur, Kota Bharu itu melibatkan pelbagai acara menarik seperti pertandingan lastik, pameran anti dadah, serta Walkabout bersama ikon-ikon anti dadah.
Program tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya dadah serta menggalakkan kerjasama dalam usaha memerangi ancaman ini demi kesejahteraan generasi masa depan.
0 Comments