Oleh: Norzana Razaly
PASIR PUTEH, 23 Februari – Koperasi Masjid Mukim Permatang Sungkai Bhd muncul sebagai pusat pengumpulan nanas utama di daerah ini, memainkan peranan penting dalam memperkasa sektor pertanian tempatan.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail memuji usaha pihak pengurusan koperasi masjid tersebut.
Katanya, inisiatif itu dilihat mampu meningkatkan daya saing usahawan pertanian serta mewujudkan rantaian bekalan yang lebih efisien bagi pasaran domestik dan antarabangsa.
Beliau berkata demikian ketika meninjau pusat pengumpulan tersebut bagi meninjau perkembangan projek nanas MD2 yang diusahakan oleh 15 peserta dengan keluasan keseluruhan 15 ekar pada Rabu.
Tambahnya, pusat pengumpulan berkenaan memastikan hasil nanas dapat dikumpul dan dipasarkan dengan lebih sistematik, sekali gus meningkatkan nilai tambah kepada industri nanas tempatan.
“Pertanian secara kelompok seperti ini membuktikan bahawa sektor pertanian, khususnya tanaman nanas mampu menjadi sumber ekonomi yang mampan bagi komuniti setempat,” jelasnya.
Turut hadir, Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Negeri Kelantan Mohd Fauzan Mohamad.
0 Comments