Ticker

6/recent/ticker-posts

PENJUALAN GULA-GULA KENYAL: KELANTAN BELUM TERIMA ADUAN – EXCO KESIHATAN

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah

Oleh: Asri Hamat 

KOTA BHARU, 23 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan belum menerima sebarang aduan berkaitan penjualan gula-gula kenyal (gummy) di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas sekiranya produk tersebut disahkan berbahaya dan dikesan dijual di pasaran tempatan.

"Perkara ini kita serahkan kepada Jabatan Kesihatan untuk menyemak bahan ramuan dalam gula-gula tersebut.

"Jika ia disahkan berbahaya dan terdapat penjualan di negeri ini, kita akan melakukan rampasan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Taklimat dan Simulasi Bidang Tugas Amilin dan Amilat Madinah Ramadan 1446H/2025 di Dewan Gelanggang Seni, di sini, pada Sabtu.

Beliau turut menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memperkukuh pemantauan terhadap penjualan produk tersebut, terutama di kawasan berhampiran sekolah.

"Biasanya, penjualan gula-gula ini berlaku di luar kawasan sekolah. Oleh itu, kita minta pihak sekolah menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa supaya tindakan segera dapat diambil," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU), Hospital Pulau Pinang akibat tercekik gula-gula kenyal.

Post a Comment

0 Comments