![]() |
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, YB Dato' Dr Izani Husin |
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 27 Februari- Projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Telok telah siap sepenuhnya untuk membekal air bersih secukupnya di kawasan Pengkalan Chepa melibatkan 13,000 akaun pengguna.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato' Dr Izani Husin berkata, dengan siapnya LRA Kampung Telok tersebut masalah bekalan air bersih di dua tempat iaitu Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian dapat diselesaikan.
"Sebelum ini Pengkalan Chepa mengalami masalah bekalan air bersih, menyebabkan bekalan air sentiasa tidak mencukupi terutama di kawasan perindustrian.
"Pihak Air Kelantan SDN BHD (AKSB) terpaksa mengambil air dari LRA Chicha, sedangkan loji tersebut membekal air bersih untuk kawasan Kubang Kerian, sekaligus menyebabkan kawasan Kubang Kerian juga mengalami masalah air bersih.
"Jadi, dengan siap sepenuhnya LRA Kampung Telok yang menelan belanja RM48 juta, ia dapat melepaskan sebanyak 30 juta liter sehari (JLH) dan tidak perlu untuk mengambil air daripada LRA Chicha lagi. Sekali gus dapat menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian".
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Loji Rawatan Air Kampung Telok, Kota Bharu, hari ini.
Ketika sidang media, Dato' Dr Izani menjelaskan bahawa pada tahun 2028 semua loji rawatan air di Kelantan sudah siap sepenuhnya dan bekalan air bersih di Kelantan mencukupi, tinggal lagi kerja-kerja penukaran paip lama.
"Seluruh Kelantan melibatkan 4000 kilometer paip yang perlu ditukar. Kemampuan untuk menukar dalam setahun hanya 150 kilometer sahaja.
"Jadi untuk menukar sepanjang 4000 kilometer itu memakan masa yang lama dan kos yang besar. Kos menukar paip untuk satu kilometer adalah RM1 juta dan sekarang penukaran paip di Kelantan baru mencapai lebih kurang 400 kilomiter," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian LRA tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa dalam pengurusan air memerlukan kerjasama semua pihak.
Beliau juga mengingatkan supaya pengguna mengguna air secara berhemah dan tidak membazir serta membayar bil air.
Penduduk di kawasan Pengkalan Chepa yang belum mengguna air daripada AKSB juga diseru supaya berbuat demikian.
"Jadi dengan kapasiti 30 JLH AIR yang dilepaskan oleh LRA Kampung Telok ini membolehkan penduduk membuka akaun baharu. Pihak AKSB perlu mengadakan kempen supaya penduduk membuka akaun baharu kerana kita tahu masih banyak lagi rumah yang tidak menggunakan air AKSB kerana air AKSB pada masa itu tidak mencukupi.
"Apabila air AKSB sudah mencukupi maka kita tawarkan kepada rakyat supaya membuka akaun untuk mengguna air daripada AKSB," jelasnya.
Hadir sama dalam majlis perasmian ialah Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Zaizol Ismail dan Pengurus Besar AKSB Izani Ismail.
0 Comments