![]() |
Speaker Dewan Negeri Kelantan, YB Dato’ Sri Amar D’Raja, Dato’ (Dr.) Mohd Amar Abdullah |
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 26 Februari – Program Madinah Ramadan 1446H, acara tahunan ikonik anjuran Kerajaan Negeri Kelantan, terus mendapat sokongan padu daripada sektor korporat dan komuniti perniagaan.
Tahun ini, sebanyak 32 syarikat korporat, institusi kewangan, hotel, dan perusahaan tampil sebagai penaja utama, memastikan kelangsungan program yang menjadi medan ibadah serta kebajikan masyarakat sepanjang bulan Ramadan.
Bagi menghargai sumbangan mereka, Speaker Dewan Negeri Kelantan, YB Dato’ Sri Amar D’Raja, Dato’ (Dr.) Mohd Amar Abdullah mewakili Kerajaan Negeri Kelantan menerima sumbangan berkenaan dan menyampaikan penghargaan kepada para penaja.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada para penaja dengan menekankan bahawa amalan bersedekah dapat menyuburkan ekonomi komuniti, bahkan menjadi pelaburan akhirat yang berharga.
"Hadis menyebut bahawa bersedekah dapat menghapuskan dosa seperti air memadamkan api. Mereka yang telah meninggal dunia ingin dihidupkan semula hanya untuk bersedekah apabila melihat ganjaran yang Allah sediakan buat para dermawan," katanya ketika merasmikan Majlis Hi-Tea Bersama Penaja Korporat Madinah Ramadan 1446H/2025M di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darul Naim pada Rabu.
Antara penaja utama yang terlibat ialah Ceria Impian Resources yang menaja khemah utama Madinah Ramadan.
Manakala Hotel Perdana pula menyediakan penginapan imam tarawih dari Palestin Sheikh Naeem Mushtaha, pada sepanjang Ramadan.
Tidak ketinggalan, Kumpulan Amona Sdn Bhd, Senijaya Sdn. Bhd., Bank Muamalat dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia turut menjayakan usaha menyemarakkan roh Ramadan di Kelantan.
![]() |
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah |
Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada para penaja budiman.
Katanya, kerajaan negeri menghargai sokongan berterusan daripada sektor korporat dan komuniti perniagaan dalam menjayakan program Madinah Ramadan yang sudah lebih 30 tahun usia program anjuran Kerajaan Negeri Kelantan yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar raya Islam (MPKB-BRI).
"Tahun 2025 juga bermakna sudah 20 tahun perisyitiharan Kota Bharu sebagai Bandaraya Islam oleh almarhum Tok Guru Nik Aziz..
“Penajaan korporat dan sumbangan orang ramai adalah simbol kebersamaan rakyat Kelantan dan kepedulian sosial serta tanggungjawab bersama dalam mengimarahkan bulan penuh keberkatan ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
0 Comments