Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 3 Februari- Kerajaan Negeri Kelantan melalui Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan menjalin kerjasama erat dengan pemain industri pelancongan serta pihak yang berkepentingan untuk memperkasakan sektor pelancongan di Negeri Kelantan.
Exconya, YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata pihaknya telah mengadakan mesyuarat dengan agensi kerajaan negeri, pemain industri serta pihak yang berkepentingan bagi membincangkan perancangan program yang berimpak tinggi sejajar dengan tema "Indahnya Kelantan 2025" yang baru dilancarkan pada Sabtu lepas.
"Perbincangan hari ini menekankan perancangan program berimpak tinggi sepanjang 2025 ini. Ia sejajar dengan tema" Indahnya Kelantan 2025 " yang dilancarkan oleh YAB Menteri Besar baru-baru ini.
"Program-program tersebut merangkumi kebudayaan, warisan , eko pelancongan dan pelancongan komuniti.
"Diharapkan hasil mesyuarat ini dapat merancakkan lagi sektor pelancongan negeri Kelantan dan menjadikan Kelantan sebagai pilihan utama untuk dikunjungi."
Beliau berkata demikian menerusi satu catatan di media sosial miliknya pada Ahad.
Untuk rekod, Kerajaan Negeri Kelantan telah melancarkan tema "Indahnya Kelantan 2025" untuk memperkasa sektor pelancongan negeri Kelantan dengan merangka hampir 70 program berimpak tinggi untuk menarik pelancong domestik dan antarabangsa untuk berkunjung ke Kelantan.
0 Comments