Ticker

6/recent/ticker-posts

MPKB-BRI TERUS PERKASA PELANCONGAN KELANTAN, SAMBUT CABARAN ‘INDAHNYA KELANTAN 2025’

Oleh: Asri Hamat 

KOTA BHARU, 19 Februari – Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) terus mengorak langkah memperkasakan sektor pelancongan Kelantan dengan pelbagai inisiatif sepanjang Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK24).

Terbaharu, fokus diteruskan ke arah program ‘Indahnya Kelantan 2025’ bagi memastikan momentum industri pelancongan negeri kekal cemerlang.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata pelbagai program dianjurkan sepanjang TMK24 bagi menarik lebih ramai pelancong, termasuk Festival Kebudayaan Kelantan, Malam Jalinan Budaya, Festival Gendang Antarabangsa Kelantan, Expo Pelancongan, serta Pesta Makanan Kota Bharu.

"MPKB-BRI turut mengadakan program ‘Business to Business’ (B2B) bagi mengukuhkan jaringan industri pelancongan serta menarik lebih banyak kemasukan pelancong ke negeri ini," katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Meraikan Pemain Industri Pelancongan MPKB-BRI 2025 di sebuah hotel di Kota Bharu, Selasa lalu.

MPKB-BRI turut konsisten menaik taraf infrastruktur pelancongan dengan membaik pulih jalan raya, menyediakan kemudahan awam seperti tandas dan tempat rehat, serta membangunkan lokasi tarikan baharu yang lebih selesa dan mesra pelancong.

“Kami juga memberi perhatian serius kepada aspek kebersihan dan keindahan bandar dengan penyelenggaraan taman, landskap, serta kerja-kerja pembersihan agar Kota Bharu terus menjadi destinasi yang bersih, selesa dan menarik,” tambahnya.

Selain itu, latihan dan kursus akan terus diberikan kepada pengusaha pelancongan, pemandu pelancong, dan pekerja industri bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan, memastikan pengalaman terbaik kepada pelancong yang berkunjung ke Kelantan.

Sebagai penghargaan kepada pemain industri, MPKB-BRI turut mengumumkan pemenang bagi Pertandingan Restoran Hotel, yang menampilkan keunikan sajian serta kualiti perkhidmatan terbaik.

Johan disandang IBIS Styles Kota Bharu Hotel manakala naib johan diraih Hotel Perdana Kota Bharu.

Sementara H Elite Design Hotel menduduki tempat ketiga.

Selain itu, Anugerah Khas Perhotelan turut diberikan kepada individu dan hotel yang menunjukkan kecemerlangan dalam industri.

Hotel Terbaik MAH ialah Hotel Perdana Kota Bharu dan Hotel Terbaik MYBHA milik Tune Hotel Kota Bharu serta Muhammad Azrin Zainal Abidin dinobatkan sebagai  Ikon Perhotelan.

Seiring dengan kejayaan TMK24, YB Hilmi menyeru semua pemain industri pelancongan serta pengamal media untuk terus berperanan aktif dalam menjayakan program ‘Indahnya Kelantan 2025’ yang dilancarkan oleh Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud pada 1 Februari lalu.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Yang Dipertua MPKB-BRI Azi Rahimee Mohamed, Ketua Whip MPKB-BRI Abdul Munib Assyakirin Zakaria, Setiausaha MPKB-BRI Mahzan Che Mohamed, serta wakil dari persatuan hotel dan pemandu pelancong negeri.

Post a Comment

0 Comments