Ticker

6/recent/ticker-posts

FAM TRIP XPLORASI "INDAHNYA KELANTAN 2025" PERKUKUH JARINGAN PELANCONGAN MALAYSIA-INDONESIA

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 20 Februari – Kelantan bakal menjadi tumpuan agen pelancongan dan media dari Riau, Indonesia, menerusi program Fam Trip Xplorasi "Indahnya Kelantan 2025".

Program jalinan muhibbah dua negara itu dijadual berlangsung pada 21 hingga 24 Februari ini.

Ia bertujuan memperkukuh jaringan pelancongan antara Malaysia dan Indonesia serta memperkenalkan Kelantan sebagai destinasi utama kepada pasaran negara jiran itu.

Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa program tersebut akan memberi peluang kepada peserta untuk merasai sendiri keunikan negeri ini melalui lawatan ke lokasi bersejarah, warisan budaya, serta destinasi alam semula jadi yang memukau.

"Antara tarikan utama dalam program ini termasuk Masjid Ar Rahman di Tumpat, yang menampilkan seni bina Islam yang mengagumkan, serta Laman Warisan Kampung Laut yang mencerminkan keaslian budaya Melayu.

Peserta juga akan menyaksikan persembahan tradisional Wayang Kulit di Gelanggang Seni dan Himpunan Pendikir Indahnya Kelantan yang akan berlangsung pada 21 Februari di Dataran Kemahkotaan Machang," menurut kenyataan tersebut.

Selain itu, peserta akan dibawa menikmati keindahan semula jadi Kelantan dengan menaiki bot di Sungai Pengkalan Datu, menghayati keunikan Pulau Suri, serta melihat panorama memukau dari jambatan Guillemard, Gunung Stong, dan Gua Ikan.

Program ini turut memberi peluang kepada peserta untuk merasai kemeriahan Pasar Siti Khadijah yang terkenal dengan produk tempatan, selain mengagumi seni bina klasik Istana Jahar.

Lawatan ke Masjid Buluh dan Masjid Razaleigh turut dimasukkan ke dalam jadual.

Kedua-duanya menampilkan keunikan seni bina Islam di Kelantan.

Melalui program berkenaan, dijangkakan para peserta akan membawa pulang pengalaman yang bermakna serta memperkenalkan keindahan Kelantan kepada pelancong di Indonesia melalui pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan oleh agen pelancongan tempatan.

Post a Comment

0 Comments