Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 20 Februari – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) terus memperkukuh akses perkhidmatannya di Pantai Timur dengan pembukaan Pejabat Satelit di Al-Waqf Garden Boulevard @ Tunjong, di sini, sebagai pusat perkhidmatan baharu bagi usahawan dan masyarakat setempat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi MyIPO, Ts. Dr. Mohd Zuhan Mohd Zain, yang menegaskan bahawa inisiatif ini adalah sebahagian daripada langkah strategik MyIPO dalam memperluaskan perkhidmatan perlindungan harta intelek kepada komuniti perniagaan di Kelantan.
“Sebelum ini, MyIPO telah membuka Pejabat Satelit di Terengganu dan Perak pada tahun lalu serta di Kedah pada awal tahun ini. Pembukaan di Kota Bharu ini akan memastikan usahawan tempatan lebih mudah mengakses khidmat perlindungan harta intelek bagi memelihara keunikan dan daya saing produk mereka,” katanya dalam ucapan perasmian, semalam.
Sementara itu, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan Kelantan YB Mejar (B) Dato' Md Anizam Ab Rahman, menyambut baik pembukaan pejabat tersebut yang disifatkan sebagai satu peluang besar kepada usahawan tempatan.
Beliau optimis bahawa pembukaan Pejabat Satelit MyIPO Kota Bharu itu dijangka memberi manfaat besar kepada ekosistem keusahawanan di negeri Kelantan, khususnya dalam aspek pemeliharaan hak cipta dan jenama produk tempatan.
“Peluang terbaik bagi usahawan tempatan memperkemaskan ‘signature’ perniagaan masing-masing melalui khidmat MyIPO yang kini telah berada di Tunjong, Kota Bharu. Insya-Allah lebih banyak aktiviti bersama akan digerakkan bagi menyokong kempen dan pendaftaran produk usahawan agar hak cipta sentiasa terpelihara,” katanya menerusi catatan di laman sosial pada Rabu.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada 50 usahawan asnaf di sekitar Kota Bharu, bertujuan membantu mereka mengembangkan perniagaan serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan harta intelek dalam memastikan daya saing perniagaan.
Turut hadir dalam majlis perasmian, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) MyIPO, Sh. Arifin Sh. Mohd Noor serta Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar.
0 Comments