Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 20 Februari – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mencatat sejarah baharu dalam pengagihan zakat apabila menyalurkan RM269,417,035 kepada asnaf bagi tahun 2024, meningkat 15 peratus berbanding RM233,627,386 pada tahun sebelumnya.
Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan YBM Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, kenaikan tersebut sejajar dengan peningkatan kutipan zakat yang berjumlah RM296.5 juta, berbanding RM257.09 juta pada tahun 2023.
Dana berjumlah RM118,475,676 telah diperuntukkan untuk Asnaf Fisabilillah, menjadikannya segmen terbesar dalam agihan zakat MAIK.
“Perbelanjaan ini merangkumi pelbagai program pembangunan ummah, pendidikan Islam serta bantuan kepada institusi keagamaan.
“Kutipan zakat tertinggi diperoleh daripada zakat pendapatan dengan jumlah RM185.3 juta, meningkat sebanyak 17 peratus atau RM27.3 juta berbanding tahun sebelumnya.
“Zakat perniagaan pula menyumbang RM54.1 juta, diikuti zakat wang simpanan RM24.4 juta dan zakat harta RM13.5 juta. Selebihnya terdiri daripada zakat emas/perak, saham, ternakan, qadha, pertanian dan padi dengan jumlah kumulatif RM19.2 juta,” katanya ketika membentangkan Laporan Khas Kutipan dan Agihan Zakat MAIK Tahun 2024 di sini, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa beberapa faktor utama menyumbang kepada peningkatan kutipan zakat tahun lalu, termasuk pertumbuhan ekonomi yang baik, kepercayaan pembayar zakat terhadap ketelusan agihan, serta keberkesanan strategi promosi dan penerangan yang berjaya menarik lebih ramai penyumbang.
“Sebanyak 30,865 pembayar zakat melalui potongan gaji menyumbang RM86.3 juta, iaitu 30 peratus daripada keseluruhan kutipan zakat. Peningkatan ini mencerminkan kesedaran umat Islam di Kelantan yang semakin tinggi terhadap kewajipan berzakat,” ujarnya.
Tengku Tan Sri Mohamad Rizam turut menzahirkan penghargaan kepada semua pembayar zakat yang terus menyokong usaha MAIK dalam memperkasakan institusi zakat dan memastikan kebajikan umat Islam terpelihara.
“MAIK komited untuk mengagihkan setiap sen zakat yang diterima secara telus dan berkesan kepada golongan yang berhak,” katanya.
0 Comments