Ticker

6/recent/ticker-posts

PENYATUAN KUNCI KEKUATAN UMAT ISLAM

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 28 Februari – Penyatuan umat Islam merupakan kunci utama kepada kekuatan dan kemuliaan dalam masyarakat.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud menegaskan hal tersebut ketika merasmikan Majlis Sambutan Ambang Ramadan dan Pelancaran Teks Tadarus al-Quran di Masjid At-Taqwa, Mukim Pulau, Kubang Kerian, pada Khamis.

Beliau menekankan bahawa perpecahan hanya melemahkan umat, menjadikan mereka rentan terhadap penindasan, sebagaimana yang berlaku kepada umat Islam di Palestin dan negara lain.

"Sebatang lidi mudah dipatahkan, tetapi apabila dicantumkan, ia menjadi kuat.

"Begitu juga dengan umat Islam – kita hanya akan menjadi kuat jika bersatu. Sebaliknya, perpecahan membawa kelemahan, sebab itu Allah SWT mengharamkannya," jelasnya.

Katanya lagi, di tempat umat Islam lemah, mereka ditindas. Namun, di tempat umat Islam kuat, orang bukan Islam hidup dalam keadaan aman kerana Islam melarang kezaliman terhadap sesiapa pun.

Bagi menyemarakkan semangat Ramadan tahun ini, Kerajaan Negeri Kelantan melalui Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) telah memilih ayat 116 hingga 120 daripada Surah Hud sebagai teks tadarus rasmi.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mad Daud

Sementara itu, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mad Daud pula menyatakan bahasa meskipun jumlah ayat yang dipilih tidak banyak, nilai dan penghayatannya amat besar, khususnya dalam menyeru kepada penyatuan dalam masyarakat.

"Memahami, menghayati, dan melaksanakan suruhan dalam ayat-ayat ini adalah asas utama tujuan tadarus.

"Kita mahu umat Islam benar-benar mengambil iktibar daripada kandungannya," katanya dalam ucapan alu-aluan.

Beliau turut berharap teks tadarus berkenaan dapat dikupas dan disebarluaskan di seluruh jajahan Kelantan, termasuk di masjid, surau, dan komuniti setempat, agar mesej penyatuan dapat dihayati sepenuhnya.

Pegawai Agama Jajahan Kuala Krai, Ustaz Saibon Ismail

Majlis turut menyaksikan kupasan ayat 116 hingga 120 oleh Pegawai Agama Jajahan Kuala Krai, Ustaz Saibon Ismail, selain pelancaran himpunan teks tadarus bagi dekad pertama serta penyerahan teks kepada ketua-ketua jajahan dan pengelola Halaqat kawasan.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Kelantan (ADN), Timbalan Mufti Negeri Kelantan Sahibus Samahah Dato' Abdul Kadir Mohamad, Pengarah JAHEAIK, Dr Hasnan Ramli, serta pemimpin-pemimpin jajahan dan jabatan negeri serta persekutuan.

Post a Comment

0 Comments