Ticker

6/recent/ticker-posts

PURNAMA SANTUNI 675 ASNAF DI AMBANG RAMADAN

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 28 Februari – Program Ambang Ramadan Purnama 1446H berjaya menyantuni 675 asnaf di seluruh Kelantan.

Program bagi Zon 1 berlangsung di Astaka JKR 10 hari ini menjadi platform Purnama menyantuni golongan asnaf menjelang ketibaan bulan mulia. 

Seramai 195 keluarga asnaf dari 13 Dewan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kota Bharu, Kubang Kerian, Pengkalan Chepa dan Tumpat menerima sumbangan wang tunai dan bakul makanan dalam usaha meringankan beban mereka.

Ahli Parlimen Tumpat, YB Dato’ Mumtaz Md Nawi ketika menyampaikan ucapan alu-aluan menekankan kepentingan menanam niat berpuasa sebulan penuh kepada semua ahli keluarga agar tidak terlepas hari-hari tertentu tanpa niat.

Beliau turut berpesan kepada ibu bapa supaya menghubungi anak-anak untuk mengingatkan mereka mengenai niat berpuasa dan mendoakan keluarga masing-masing, yang bukan sahaja membawa manfaat kepada si penerima, tetapi juga ganjaran pahala kepada yang menyampaikan peringatan tersebut.

“Di Turki, ada fenomena ‘pahala hopping’, umat Islam menunaikan ibadah setiap malam bersama keluarga di masjid yang berlainan untuk dapatkan "vibes" berbeza.


"Ini satu budaya yang baik untuk diterapkan kerana ia menggalakkan semangat ibadah yang berterusan.

"Selain itu, waktu makan dan berjalan bersama ahli keluarga adalah saat terbaik untuk menyampaikan nasihat dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau turut berkongsi ibrah daripada kisah adik-beradik Nabi Yusuf a.s.

Menurutnya, Nabi Yaakob a.s. tetap bersabar meskipun mengetahui sikap cemburu anak-anaknya terhadap Yusuf a.s.

"Kesabaran dalam mendidik dan doa khusus untuk anak-anak tak putus sepanjang hayat Nabi Yaakob a.s akhirnya membawa kepada penyatuan semula anak-anak Nabi Yaakob a.s," ujarnya.

Bagi memastikan Ramadan lebih bermakna, Dato' Mumtaz juga menyaran agar setiap rumah menyediakan kurma untuk memudahkan sahur, membaca Al-Quran setiap hari, serta memperuntukkan wang untuk berinfak mengikut keperluan sepanjang 30 hari Ramadan bagi memastikan istiqamah dalam bersedekah.

Majlis perasmian program disempurnakan oleh Penasihat Purnama, Datin Sri Amar D’Raja Hasmani Hussin, yang mengajak hadirin merenung hikmah Ramadan sebagai peluang memperbaharui iman, menyucikan hati, dan meningkatkan rasa syukur.

“Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga peluang untuk mentarbiyah diri dan berempati dengan mereka yang kurang bernasib baik.

"Marilah kita berkongsi rezeki dan berusaha menjadi golongan al-abrar yang beriman serta sentiasa membantu menyelesaikan masalah orang lain,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program, Datin Rohani Che Hassan memaklumkan bahawa program tersebut merupakan acara kemuncak kepada siri Sambutan Ambang Ramadan Purnama 1446H yang telah berlangsung di Zon 2, 3 dan 4 bermula pada pertengahan Syaaban.

“Program Ihya’ atau Semarak Ramadan Zon 1 di Astaka JKR 10 menandakan penutup kepada siri ini bagi tahun 1446H.

"Melalui program ini, Purnama berkongsi rezeki dengan 195 keluarga asnaf, iaitu 15 penerima daripada setiap DUN yang terlibat,” ujarnya ketika ditemui.

Terdahulu, berlangsung program yang sama bagi Zon 3 Parlimen Machang, Kuala Krai dan Gua Musang melibatkan 150 penerima dari DUN Temangan, Pulai Chondong dan Kemuning (Parlimen Machang).

Seterusnya  penerima dari DUN Mengkebang, Guchil, Manek Urai dan Dabong bagi (Parlimen Kuala Krai).

Turut diraikan juga para penerima dari DUN Paloh, Nenggiri dan Galas (Parlimen Gua Musang).

Manakala pada 22 Februari program yang sama berlangsung di Dewan Purnama Desa Rabbana, Jeli dan dirasmikan oleh Yang Di Pertua Purnama Datin Panglima Perang Datin Wan Nor Hanita Wan Yaacob.

Seramai 180 penerima terpilih daripada Zon 2 Parlimen Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas dan Rantau Panjang.

Serentak itu juga berlangsung program bagi Zon 4 melibatkan 

150 penerima dari DUN Jelawat, Tawang dan Pantai Irama (Parlimen Bachok).

Diikuti, penerima dari DUN Selising, Semerak, Gaal dan  Limbongan bagi Parlimen Pasir Puteh.

Manakala Parlimen Ketereh pula terdiri daripada penerima di DUN Kadok, Melor dan Kok Lanas.

Post a Comment

0 Comments